suria

Bagasi Ditukar Untuk Muatkan Lebih Banyak Pakaian - Adhy

Adhy Tedjajadi.
Adhy Tedjajadi.
Adhy Tedjajadi.

GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga Indonesia yang didakwa menyeludup lebih 1.8kg methamphetamine memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa bagasinya telah ditukar kepada saiz lebih besar sebelum dia berlepas pulang ke Pulau Pinang dari Mali di Afrika Barat.

Pengaturcara komputer, Adhy Tedjajadi, 35, yang memberi keterangan di hadapan Hakim Zamani Abdul Rahim berkata, dia tengah bersiap untuk pergi ke lapangan terbang bagi mengejar penerbangannya apabila bilik hotelnya diketuk oleh Maria Cruspina kira-kira pukul 6.30 petang pada 12 Ogos, tahun lalu.

"Wanita itu membawa lima bungkusan plastik yang mengandungi pakaian tradisi wanita Islam.

"Dia juga terlihat bagasi saya di mana saya telah memasukkan semua pakaian, jadi dia keluar dari bilik saya dan kembali dengan bagasi yang lebih besar berwarna coklat.

"Bagasi saya yang berwarna merah adalah 10cm lebih kecil daripada bagasi coklat tersebut," katanya.

Adhy yang sering memanggil Maria sebagai Chuping berkata, bagasi berwarna coklat itu adalah kosong dan dia tidak menyedari sebarang bungkusan di dalam beg tersebut.

"Sebelum itu, dia (Chuping) membuka bagasi itu dan saya melihat ia boleh memuatkan lebih banyak pakaian.

"Chuping kemudiannya memindahkan pakaian saya dari bagasi berwarna merah itu ke bagasi coklat tersebut. Dia mengambil masa selama lima hingga 10 minit untuk memindahkan pakaian itu.

"Selepas itu, dia memasukkan lima bungkusan plastik mengandungi pakaian tradisi itu di dalam bagasi yang sama sebelum menutupnya," katanya pada Khamis.

Adhy juga berkata Maria tidak mengikutnya ke lapangan terbang kerana dia memberitahu masih ada perkara perlu diselesaikan dan dia telah menangguhkan penerbangannya.

"Chuping kemudiannya berkata, pakaian tradisi itu akan diberikan olehnya kepada rakan-rakannya di Pulau Pinang pada sambutan Hari Raya," katanya.

Adhy yang diwakili peguam Selvi Sandrasegaram didakwa menyeludup kira-kira 1,875.7gm methamphetamine di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada pukul 5.40 petang, 15 Ogos tahun lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didakwa dibawah Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

5,607 Mangsa Banjir di Pahang

Artikel Lain