suria

Tindakan Pembersihan Elak Penularan Wabak Penyakit Selepas Banjir

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah kerja-kerja pembersihan selepas banjir perlu diberi perhatian serius bagi mengelak kemungkinan penularan wabak penyakit.

"Kita tidak mahu sampah bertimbun-timbun hari demi hari yang mugkin akan membawa wabak-wabak penyakit.

"Saya harap ini tidak akan berlaku, selain itu juga saya harap semua penduduk yang terlibat secara langsung harus memberi kerjasama bagi memulihkan keadaan," titahnya kepada pemberita ketika meninjau kerja-kerja pembersihan yang digembleng bersama oleh pihak berkuasa, sukarelawan dan penduduk di Taman Chenderawasih di sini Khamis.

Terdahulu, baginda mendengar taklimat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Datuk Zulkifli Yaacob.

Tengku Abdullah turut memberi jaminan pihak berkuasa akan membantu memulihkan semula keadaan di tempat yang terjejas akibat banjir dan mengalu-alukan pertolongan sukarelawan meringankan beban yang ditanggung mangsa.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Putrajaya yang melancarkan pasukan sukarelawan JPA4U Isnin lepas, turut membantu membersihkan kawasan kediaman yang terjejas.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata setakat ini, JPA4U dianggotai kira-kira 300 penjawat awam dan mereka memberi bantuan termasuk makanan, pakaian serta barangan keperluan asas.

"Kita sekarang baru ada 300 orang dan kita akan tambah lebih banyak lagi sukarelawan kerana pada masa ini, ramai di JPA orang muda yang dikenali sebagai generasi X dan Y.

"Jadi, generasi ini kita akan jadikan mereka satu pasukan dan kalau boleh kita galakkan pegawai perkhidmatan awam JPA (menjadi) sebagai model untuk membantu semua urusan yang berkaitan dengan kerja sukarelawan," katanya.

Beliau juga berkata usaha itu merupakan satu daripada tindakan JPA bagi merakyatkan perkhidmatan awam, yang juga merupakan sebahagian daripada 1M4U. - BERNAMA

Artikel Lain