suria

Pegawai Awam Wanita PDRM Meninggal Dunia Akibat Tiroid, Bukan H1N1

KUALA LUMPUR: Pegawai awam wanita dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah disahkan meninggal dunia kerana komplikasi daripada penyakit Tiroid dan bukannya dijangkiti Influenza A.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr S. Jeyaindran berkata perkara itu disahkan selepas semakan dan kajian semula dibuat oleh pakar dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap rekod perubatan hospital swasta yang merawat mangsa berusia 48 tahun itu.

Beliau berkata mangsa sebelum itu sakit dan demam sebelum dihantar ke sebuah hospital swasta untuk menjalani rawatan.

Ketika dirawat di hospital itu, dalam proses kajian darah yang dibuat, 'title' H1N1 ditemui pada pesakit berkenaan positif, oleh itu pesakit terbabit disyaki mengalami jangkitan H1N1.

"Bagaimanapun, KKM telah menghantar pakar bagi mengkaji dan menyemak semula laporan perubatan mangsa dan selepas meneliti rekod berkenaan sehingga hari ini, pakar mengesahkan mangsa mati akibat Tiroid dan bukan disebabkan H1N1," katanya.

Mengulas lanjut, Jeyaindran berkata disebabkan wabak H1N1 pernah berlaku di negara ini, potensi untuk rakyat terdedah kepada virus itu adalah tinggi.

"Bagaimanapun dari semasa ke semasa, sekiranya wabak itu menjadi agresif, barulah ia mungkin menyebabkan kematian," jelasnya.

Pegawai awam wanita berusia 48 tahun itu meninggal dunia kira-kira 11.10 pagi Selasa di hospital swasta itu setelah menghadiri majlis 'Perjumpaan Pegawai Awam PDRM bersama KPN' di Melaka, Khamis lepas. - BERNAMA

Artikel Lain