suria

KL Mohon Sokongan Perancis Untuk Duduki Kerusi Tidak Tetap Majlis Keselamatan

KUALA LUMPUR: Malaysia berharap Kerajaan Perancis akan menyokong pencalonannya untuk menduduki kerusi tidak tetap dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2015-2016.

Perkara itu disuarakan dalam perjumpaan antara Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan rakan sejawatannya dari Perancis Laurent Fabius di Paris pada Rabu.

Dalam kenyataan pada Khamis, Kementerian Luar berkata Anifah juga menimbulkan isu pelabelan minyak sawit oleh Perancis.

"Dalam respons beliau, Fabius mengulangi komitmen untuk tidak melakukan diskriminasi terhadap minyak sawit di Perancis seperti yang disuarakan Perdana Menteri Jean-Marc Ayrault ketika melakukan lawatan rasmi ke Malaysia pada Julai tahun ini," katanya.

Kenyataan itu berkata kedua-dua menteri berkenaan juga mengulangi komitmen mereka untuk meningkatkan kerjasama dua hala, termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, tenaga dan pengangkutan serta pertukaran kebudayaan dan hubungan rakyat dengan rakyat.

Anifah juga menyampaikan jemputan rasmi kepada Fabius untuk melawat Malaysia dan mengulangi jemputan rasmi kepada Presiden Perancis Francois Hollande untuk melawat negara ini.

Selepas Perancis, Anifah akan meneruskan lawatan kerjanya di Eropah dengan mengunjungi Monaco dan Geneva di Switzerland dari 13 hingga 16 Dis. - BERNAMA

Artikel Lain