suria

Kisah Menyedihkan Apabila Artifak Purba Dijual

Barangan berharga: Pasu 'teracota' yang berasal daripada Dinasti Ming dipamerkan di sebuah kedai antik. Pasu ini telah ditemui di Kota Tinggi.
Barangan berharga: Pasu 'teracota' yang berasal daripada Dinasti Ming dipamerkan di sebuah kedai antik. Pasu ini telah ditemui di Kota Tinggi.
Barangan berharga: Pasu 'teracota' yang berasal daripada Dinasti Ming dipamerkan di sebuah kedai antik. Pasu ini telah ditemui di Kota Tinggi.

KOTA TINGGI: Artifak dan duit syiling yang berasal daripada zaman Kesultanan Johor lama dijual secara terbuka di 'e-Bay' melalui orang tengah yang diupah oleh pengumpul barangan antik.

Semakan The Star mendapati syiling berbentuk binatang termasuk haiwan seperti buaya, kura-kura, ayam jantan, ikan, katak, ketam, dan lain-lain dijual secara haram.

Bidaan bagi syiling berbentuk binatang ini di e-Bay bermula pada harga US$59.90 (RM190.36) dan US$1,374.99 (RM4,369.72) bergantung kepada keadaan semasa dan usia setiap artifak berkenaan.

Terdapat sekurang-kurangnya dua penjual utama yang melelong artifak berkenaan melalui 'e-Bay', termasuk kepingan yang ditemui di sungai Kota Tinggi di sini.

Selain daripada wang syiling berbentuk haiwan ini, individu yang sama didapati turut menjual mata wang daripada Perak dan negeri lain di negara ini.

Seorang pengumpul barangan antik yang berasal dari Singapura juga didapati menjual duit syiling emas berbentuk heksagon yang jarang ditemui.

Duit syiling berkenaan merupakan mata wang yang digunakan ketika zaman pemerintahan kerajaan Johor Lama iaitu daripada tahun 1527 hingga 1699.

Syiling berkenaan dikatakan digunakan semasa pemerintahan beberapa sultan termasuk Sultan Ala'udin Riayat Shah, Sultan Abdullah Ma'ayat Shah, Sultan Abdul Jalil Shah III dan Sultan Mahmud Shah II.

Bidaan bagi duit syiling berkenaan bermula daripada US$28 (RM88.98) hingga US$2,500 (RM7,945).

Selain daripada 'e-Bay', The Star turut mendapati beberapa blog turut dijadikan medan untuk menjual barangan antik ini termasuklah duit siling yang jarang ditemui, syiling berbentuk haiwan serta tembikar yang ditemui pada abad ke-15.

Harga artifak berkenaan juga tidak dipaparkan sebaliknya pembeli yang berminat perlu menulis e-mel kepada penjual untuk mengetahui mengenai harga barangan tersebut.

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Sekitar Johor, Vincent Chow, yang juga peminat barangan antik berkata wujudnya satu rangkaian yang menghubungkan orang tengah sebagai penjual artifak berharga itu dengan pengumpul barangan antik tempatan dan warga asing.

"Orang tengah ini sering bekerjasama dengan nelayan tempatan atau kedai menjual barangan antik untuk membeli artifak berkenaan sebaik sahaja ditemui," katanya.

Seorang pemilik kedai barangan antik yang enggan dikenali berkata dia akan menyimpan beberapa barangan terpilih yang jarang ditemui dan hanya akan menunjukkannya kepada pelanggan yang istimewa.

"Saya memperoleh duit syiling lama dan beberapa kepingan tembikar berharga ini daripada orang tengah, sekiranya pihak berkuasa dapat tahu mengenai hal ini mereka akan merampas dan meletakkannya di muzium," katanya.

Beliau menambah orang ramai lebih gemar menjual artifak berkenaan kepada pengumpul barangan purba dan kedai antik kerana di sana tawaran harga yang diperolehi lebih tinggi berbanding harga yang ditawarkan oleh pihak muzium.

Artikel Lain