suria

Kerajaan Beli 618 Rumah Kedai, Bantu Tingkat Pemilikan Hartanah Bumiputera

KUALA LUMPUR: Kerajaan membeli 618 rumah kedai di seluruh negara dalam usaha meningkatkan pemilikan hartanah Bumiputera, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata pembelian oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Usahawan Nasioanal Berhad (PUNB) dengan nilai lebih RM280 juta bermula dari 2008 hingga Nov 2013.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 489 rumah kedai dibeli MARA melibatkan lebih RM144 juta dan 129 kedai oleh PUNB melibatkan lebih RM136 juta," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Negara di sini.

Mohd Ali bertanya jumlah rumah kedai dibeli sehingga kini berikutan hanya lima peratus pemilikan rumah kedai itu di seluruh negara.

Selain itu, Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) ditubuhkan pada 2006 untuk melabur di sektor hartanah komersil yang bernilai tinggi.

Sehingga September lepas, PHB melabur RM3.79 billion untuk membeli bangunan dan pembangunan hartanah di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Abdul Wahid berkata usaha meningkatkan pegangan hartanah Bumiputera bukan sahaja berdasarkan pembelian rumah kedai kuota Bumiputera tetapi juga dilaksanakan melalui pembinaan premis perniagaan khusus untuk disewa atau dijual kepada kalangan Bumiputera.

"Pembinaan premis perniagaan ini adalah di lokasi yang strategik terutama sekali di bandar-bandar utama," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain