suria

Keadaan Banjir Di Pahang, Terengganu Semakin Pulih

Seorang penduduk terbaring keletihan di bawah sebuah pondok berhampiran rumahnya di Kampung Semangat, Kuantan, setelah berulang-alik memindahkan barangan ke tempat selamat. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir yang melanda Pahang dan Terengganu menunjukkan tanda-tanda pemulihan dengan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan semakin berkurangan.

Di KUANTAN, setakat 4 petang, seramai 5,539 orang masih berada di pusat pemindahan banjir di Pahang berbanding 5,607 yang direkodkan pagi Khamis.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, kesemua mangsa banjir daripada 1,389 keluarga ditempatkan di 65 pusat pemindahan dari 61 penempatan di enam daerah yang terjejas banjir.

Pekan masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 3,686 orang di 37 pusat pemindahan, disusuli Kuantan (827 orang di lima pusat pemindahan), Maran (735 di 13 pusat), Bera (196 di lima pusat), Temerloh (82 di empat pusat) dan Rompin (13 di satu pusat).

Sementara itu di TERENGGANU, hanya 1,341 orang daripada 311 keluarga masih berada di pusat-pusat pemindahan petang ini berbanding 3,387 orang (710 keluarga) pagi Khamis.

Di Dungun, jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan cuma 473 orang (116 keluarga), 846 orang (187 keluarga) di Kemaman, manakala 22 orang (8 keluarga) di Marang.

Sementara banjir di daerah Hulu Terengganu dilaporkan pulih petang Khamis.

Sehingga kini, sebanyak 18 pusat pemindahan masih beroperasi iaitu lapan di Dungun, Kemaman (11) dan satu di Marang.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri pula melaporkan paras air di sungai-sungai utama di Terengganu kebanyakannya berada pada paras biasa petang Khamis. - BERNAMA

Artikel Lain