Jepun, Malaysia Setuju Bincang Gelombang Kedua Dasar Pandang Ke Timur - Abe - Semasa | mStar

Jepun, Malaysia Setuju Bincang Gelombang Kedua Dasar Pandang Ke Timur - Abe

TOKYO: Jepun dan Malaysia bersetuju mengadakan rangka kerja rundingan dua hala mengenai gelombang kedua Dasar Pandang Ke Timur, kata Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe.

Bercakap dalam sidang akhbar bersama selepas mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak di sini pada Khamis, Abe berkata langkah itu diambil untuk meningkatkan hubungan dua hala antara Tokyo dan Kuala Lumpur yang dibina berasaskan dasar tersebut.

Dasar Pandang Ke Timur diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1982 ketika beliau menjadi perdana menteri Malaysia untuk mencontohi etika kerja dan kaedah perniagaan Jepun.

"Asas bagi hubungan dua hala Jepun-Malaysia ialah hubungan persahabatan pelbagai peringkat yang berpaksikan Dasar Pandang Ke Timur," kata Abe pada sidang akhbar itu melalui seorang jurubahasa Jepun.

Najib tiba di sini pagi ini untuk melakukan lawatan kerja empat hari bersempena sidang kemuncak yang diadakan bagi memperingati ulang tahun ke-40 hubungan dialog Asean-Jepun.

Dalam pertemuan mereka di Malaysia pada Julai tahun ini, Najib dan Abe bersetuju meningkatkan hubungan dua hala melalui gelombang kedua Dasar Pandang Ke Timur.

Pada perjumpaan itu, Najib berkata gelombang kedua Dasar Pandang Ke Timur tidak sepatunya hanya terhad kepada latihan dan pendidikan, tetapi juga perlu bersifat lebih progresif, dengan memberi fokus kepada keutamaan dan perubahan dalam struktur ekonomi semasa.

Sambil berkata perbincangan yang diadakan mereka amat bermakna, Abe menjelaskan bahawa mereka bersetuju bekerjasama dalam bidang hubungan ekonomi, khususnya berkaitan projek hubungan rel berkelajuan tinggi Singapura-Kuala Lumpur.

"Saya minta agar sistem kereta api laju di Jepun digunakan," kata Abe. Dalam tweetnya hari ini, Najib berkata cadangan hubungan rel berkelajuan tinggi Singapura-Kuala Lumpur akan dimuktamadkan tahun depan.

Cadangan projek bernilai US$12 bilion (RM40 bilion) sepanjang 330km ini diumumkan Najib dan rakan sejawatan beliau dari Singapura Lee Hsien Loong pada Februari tahun ini.

Mengenai keselamatan maritim, Abe berkata kedua-dua negara mengadakan latihan bersama pertama yang melibatkan agensi berkenaan pada September tahun ini dan pada mesyuarat hari ini, mereka bersetuju meneruskan kerjasama itu, termasuk melibatkan pihak berkuasa keselamatan dari kedua-dua negara.

Menurut Abe beliau memaklumkan kepada Najib bahawa Jepun akan menyediakan biasiswa untuk lebih ramai pelajar dari negara anggota Asean yang melanjutkan pengajian di Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT).

Abe berkata beliau dan Najib juga bertukar-tukar pendapat tentang isu semasa serantau dan bersetuju bekerjasama untuk membina Komuniti Asean menjelang 2015. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Artikel Lain