suria

Fasa Kedua Dasar Pandang Ke Timur Lebih Tumpu Bidang Industri - Najib

TOKYO: Fasa kedua Dasar Pandang ke Timur akan lebih menumpu kepada bidang industri dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan menggerakkan usaha menjayakannya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata penekanan akan diberikan kepada bidang pelaburan nilai tinggi dan meningkatkan rantaian nilai.

Fasa pertama dasar itu lebih tertumpu kepada bidang latihan dan peluang pendidikan yang dikendalikan oleh Jabatan Perdana Menteri, kata beliau.

"Saya beritahu Perdana Menteri Jepun (Shinzo Abe) kita tidak berminat menerima pelaburan berintensifkan buruh dari Jepun," kata Najib kepada media Malaysia di sini selepas menerima kunjungan pegawai-pegawai tinggi beberapa syarikat terkemuka Jepun.

Najib tiba di sini pagi Khamis dalam rangka lawatan kerja empat hari sempena sidang kemuncak ulang tahun ke-40 hubungan dialog Asean-Jepun.

Perdana Menteri berkata dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya itu hari ini, kedua-dua pihak bersetuju membawa hubungan dua hala ke satu tahap yang lebih tinggi yang terasnya berkisar pada Dasar Pandang ke Timur fasa kedua. - BERNAMA

Artikel Lain