suria

Tiada Minyak Masak Kitar Semula Dijual Di Pasaran

KUALA LUMPUR: Kerajaan pada Rabu mengulangi penegasan tiada minyak masak kitar semula dikesan dijual dalam pasaran tempatan.

Sebaliknya kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berdasarkan siasatan penjualan minyak masak kitar semula hanya membabitkan restoran atau kedai dengan syarikat berlesen bagi tujuan pemprosesan minyak itu kepada sebatian lain seperti biodiesel atau untuk tujuan eksport.

"Pengimportan, pengilangan dan penjualan minyak masak terpakai yang diproses semula adalah tidak dibenarkan menurut Akta Makanan 1983," tegasnya ketika menjawab soalan Senator Roslin Abdul Rahman di Dewan Negara di sini Rabu.

Roslin ingin tahu mengenai tindakan dan langkah pemantauan yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung isu itu yang didakwa semakin berleluasa di negara ini.

Dr Hilmi berkata individu yang dikesan melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan menurut Seksyen 13, Akta Makanan 1983 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Dr Syed Husin Ali, beliau berkata kementerian itu sentiasa memastikan minyak masak di pasaran tidak mempunyai bahan-bahan berbahaya dan selamat digunakan.

"Kami telah mengambil sampel dari 173 premis 'repacker' atau syarikat yang diberi lesen oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia untuk membeli minyak masak yang diproses secara pukal bagi tujuan dibungkus atau jualan dan mendapati memang tiada bukti premis-premis tersebut ada memproses atau membungkus minyak masak terpakai," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain