suria

Mahkamah Persekutuan Perintah Petisyen Pilihan Raya Machang Didengar Semula

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya yang difail Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membatalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Machang pada pilihan raya umum ke-13 didengar semula.

Panel lima hakim diketuai Tun Arifin Zakaria membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan calon PKR Wan Zawawi Wan Ismail bagi mengetepikan perintah Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan petisyennya pada 16 Julai lepas.

Dalam penghakimannya, Arifin berkata hakim pilihan raya tidak sepatutnya membatalkan pertisyen itu atas alasan pempetisyen gagal mematuhi beberapa peraturan mengikut Kaedah 9 dan Kaedah 34 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Arifin, yang bersidang bersama-sama Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop dan Datuk Hasan Lah berkata Mahkamah Pilihan Raya perlu mendengar kes itu berdasarkan merit.

Beliau kemudian menetapkan 17 Dis sebagai pengurusan kes bagi petisyen itu. Mahkamah Pilihan Raya membatalkan petisyen Wan Zawawi selepas membenarkan bantahan awal peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili responden.

Wan Zawawi menamakan Anggota Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden.

Ahmad Jazlan, yang juga Ketua Umno Bahagian Machang, menewaskan Wan Zawawi dengan majoriti 805 undi pada pilihan raya umum ke-13.

Pada prosiding pada Selasa, panel sama menolak lima rayuan berkaitan petisyen pilihan raya selepas mendengar hujah pihak berkaitan.

Tiga daripada petisyen itu difail oleh PAS bagi kerusi Dewan Undangan Pasir Panjang, Manong dan Rungkup di Perak manakala dua oleh BN bagi kerusi Parlimen Bachok dan kerusi Dewan Undangan Negeri Jelawat di Kelantan.

Sementara itu, satu lagi panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif turut menolak petisyen pilihan raya PAS bagi kerusi Dewan Undangan Selama.

Md Raus, yang bersidang bersama-sama Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Seri Abu Samah Nordin, membuat keputusan itu selepas peguam pempetisyen Mohd Akmal Kamaruddin tidak hadir ke mahkamah.

Rayuan itu ditolak dengan kos RM20,000.

Mahkamah itu turut menetapkan 23 Disember ini untuk memutuskan petisyen pilihan raya bagi kawasan Parlimen Bagan Datoh, Sungai Besar, Tapah dan kerusi Dewan Undangan Negeri Lubok Merbau. -BERNAMA

Artikel Lain