suria

Isu Azan: Khir Toyo Mohon Maaf Kepada Teresa Kok

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah RM30 juta yang difailkan anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim terhadap bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo selesai selepas Dr Mohamad Khir mengemukakan permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Siti Khadijah S.Hassan Badjenid merekodkan penyelesaian itu selepas Dr Mohamad Khir, yang diwakili peguam M.Athimulan, membacakan permohonan maaf itu.

Dr Mohamad Khir ketika membacakan permohonan maaf itu berkata:"Saya, Mohamad Khir, defendan pertama dalam kes saman ini, tanpa pengakuan liabiti, memohon maaf kepada Teresa kerana menyiarkan penerbitan dalam blog saya www.drkhir.com pada 9 Julai 2008 seperti yang dinyatakan dalam pernyataan tuntutan. Saya kesal menyiarkan artikel itu dan bersetuju untuk membayar kos".

Terdahulu, peguam S.N. Nair, yang mewakili Kok memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya itu bersetuju untuk tidak meneruskan samannya terhadap Dr Mohamad Khir.

Mahkamah juga membenarkan saman itu tidak diteruskan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula saman baharu.

Pada 23 Disember 2008, Kok memfailkan saman terhadap Dr Mohamad Khir dan Utusan Melayu (M) Berhad berhubung isu laungan azan di Masjid Kinrara di sini, yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 8 Sept 2008.

Dalam pernyataan tuntutannya, Kok mendakwa pada 26 Jun 2008, Dr Mohamad Khir telah memetik sebuah blog dan membuat tuduhan salah terhadapnya manakala Utusan Melayu telah menerbitkan kata-kata Dr Mohamad Khir berhubung perkara itu dalam akhbarnya yang bertajuk "Ada usaha larang azan di masjid Selangor".

Kok mendakwa tuduhan kedua-dua defendan adalah tidak berasas, berniat jahat dan membawa maksud bahawa plaintif bersifat perkauman, seorang ahli politik yang anti-Islam dan tidak bertoleransi.

Bagaimanapun, kes saman terhadap Utusan Melayu selesai apabila Kok menarik balik saman itu pada 27 November lepas. -BERNAMA

Artikel Lain