suria

Banduan Berpeluang Lanjut Pelajaran Peringkat Sarjana & PhD

KUALA LUMPUR: Banduan yang menjalani hukuman di penjara akan diberi peluang melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) tidak lama lagi, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata pada masa ini, Jabatan Penjara sedang berbincang dengan insititusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) untuk melihat kursus yang bersesuaian untuk banduan melanjutkan pelajaran.

"Kita telah meminta pihak universiti menyatakan kursus yang bersesuaian dengan masa banduan untuk terus mendapat pendidikan. Inilah peluang mereka untuk menjadi insan yang berguna dan berpendidikan," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator S.Bagiam Ayan Perumal yang bertanya sama ada kementerian membuat pemantauan terhadap pesalah juvana dan banduan yang ingin melanjutkan pelajaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Wan Junaidi berkata statistik Jabatan Penjara menunjukkan 409 banduan sedang menjalani kursus di pusat latihan vokasional dan 20 lagi melanjutkan pelajaran dalam pelbagai jenis ijazah sarjana muda di sebuah IPTS.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga Ogos tahun ini, seramai 1,548 orang terlibat dalam jenayah juvana, 29,382 dalam jenayah belia dan 57 orang dalam gengsterisme juvana.

Mereka ditahan dalam Ops Cantas Khas yang dilancarkan pada 17 Ogos lepas bertujuan membuat pengesanan, pemantauan dan pencegahan aktiviti kumpulan kongsi gelap dan gengster. - BERNAMA

Artikel Lain