suria

Rujuk MKN Elak Pertindihan Bantuan - Shahidan

KUANTAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mahu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sesiapa sahaja yang mahu menyumbang bantuan kepada mangsa banjir supaya merujuk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) terlebih dahulu.

Shahidan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam berkata ia bagi mengelakkan berlakunya pertindihan bantuan atau lambakan bantuan jenis yang sama disalurkan untuk mangsa banjir.

"Saya syorkan NGO yang mahu menyalurkan bantuan supaya rujuk saya dahulu atau pihak yang menguruskan perkara ini agar senang kita beritahu jenis bantuan yang diperlukan. "Rugilah kalau semua NGO nak sumbang dapur, sebaik-baiknya satu NGO bagi dapur, NGO lain beri peti ais dan NGO berikutnya sumbangkan almari atau mesin basuh," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat pusat pemindahan banjir Sekolah Rendah Sungai Isap Murni di sini, Selasa.

Shahidan berkata beliau melihat pada masa ini mangsa amat memerlukan kelengkapan rumah asas seperti dapur, peti ais, tilam dan sebagainya.

"Kita minta sangat NGO atau sesiapa sahaja yang mahu menyumbang supaya membeli perkakas rumah kerana saya tengok setiap rumah yang dilanda banjir, semua peralatan rumah rosak dan dilonggokkan di luar rumah," katanya.

Menurutnya walaupun keadaan banjir di Pahang dan Terengganu semakin pulih namun bantuan untuk mangsa masih dialu-alukan. Katanya bilik gerakan di pusat pemindahan masih dibuka dan orang ramai yang telah pulang ke kediaman masing-masing boleh datang ke bilik gerakan itu untuk mengambil bantuan. "Bilik gerakan menerima banyak bantuan, walaupun mangsa sudah pulang ke rumah tetapi mereka boleh mengambil bantuan yang diperlukan dan saya minta ketua di penempatan itu seperti Tok Empat melihat perkara ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain