suria

Pemohon Pasport Tidak Perlu Bawa Foto Mulai 1 Mac 2014 - Zahid

PUTRAJAYA: Mulai 1 Mac tahun depan, warga Malaysia yang memohon pasport baharu, penggantian pasport atau penyambungan pasport gantian tidak perlu membawa foto untuk dilekatkan di borang permohonan mereka.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemohon hanya perlu datang ke pejabat imigresen untuk mengambil gambar mereka.

"Tiada caj dikenakan untuk pengambilan foto itu dan tiada bayaran tambahan dikenakan untuk perkhidmatan pengambilan gambar berkenaan kerana ia adalah arahan diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus kepada beliau dan Jabatan Imigresen baru-baru ini," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menghadiri Hari Imigresen 2013 di ibu pejabat Jabatan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Abdul Rahim Mod Radzi dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Alias Ahmad.

Dalam pada itu, Alias berkata bagi tahun 2012, Jabatan Imigresen menerima sebanyak 2.3 juta pemohon pasport Malaysia.

Justeru itu, jabatan menjangkakan tahun ini (2013) pemohon meningkat kepada 2.6 juta.

Sementara itu, Zahid berkata mulai sekarang pelancong China dan India perlu memohon visa sebelum memasuki Malaysia selepas Jabatan Imigresen mendapati jumlah pelancong asing yang tinggal melebihi tempoh masa yang ditetapkan di Malaysia adalah tinggi.

"Jabatan Imigresen mendapati sebanyak 39,000 pelancong India dan 6,000 pelancong dari China tinggal di Malaysia melebihi masa dan pihak Imigresen bersama pihak berkuasa yang lain telah pun menjalankan gerakan untuk mencari mereka dan menghantar mereka pulang ke negara asal," katanya.

Mengenai pemberian pistol bagi kalangan penguatkuasa Jabatan Imigresen, sebanyak 180 pucuk pistol yang sedia ada tidak mencukupi dan Kementerian Dalam Negeri akan mempertimbang untuk membekalkan anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen dengan senjata api kelak. "Pemberian pistol akan diuruskan oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen... dan pemberian bergantung kepada jawatan mereka dan kesesuaian untuk mengelakkan kejadian penyalahgunaan senjata api tersebut," katanya.

Ditanya adakah KDN mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya berikutan kejadian rusuhan di kawasan Litle India Singapura Ahad lepas, Zahid berkata kementerian sentiasa bersiap-siaga dan melakukan pemantauan di semua kawasan tumpuan warga asing di seluruh negara. -BERNAMA

Artikel Lain