suria

Malaysia Sokong Bendung Perdagangan Senjata Konvensional

KUALA LUMPUR: Malaysia mengulangi pendiriannya menyokong usaha membendung perdagangan haram senjata konvensional yang mendorong konflik serta akitiviti pelampau antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata ketegasan Malaysia berhubung usaha itu mendapat sokongan Anggota-Anggota Parlimen untuk Tindakan Global (PGA) ke-35 yang bersidang di Bogota, Colombia.

"Mereka memuji komitmen yang ditunjukkan oleh Malaysia sehingga menawarkan negara untuk menyertai Jawatankuasa Penderafan Dokumen Hasil Persidangan berhubung dengan Perjanjian Perdagangan Senjata atau Arms Trade Treaty (ATT)," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, Selasa.

Nancy menyertai Forum Tahunan Parlimen bagi Parlimen dan PGA di Bogota yang berlangsung dua hari sejak semalam.

Persidangan itu yang bertema 'Building a Stable and Durable Peace: The Role of Parliamentarians in Support of Peace Processes' dihadiri kira-kira 100 anggota parlimen dari lebih 40 negara.

Nancy yang juga Naib Pengerusi PGA Malaysia dalam ucapannya pada sesi perbincangan ATT, berkata Malaysia menyokong ATT sebagai usaha mencegah, memerangi dan membasmi perdagangan haram senjata konvensional.

"ATT dilihat tidak bercanggah dengan dasar negara terhadap senjata konvensional. "Namun, Malaysia tetap menghormati hak setiap negara untuk memiliki senjata konvensional bagi tujuan keselamatan dan pertahanan," katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman Malaysia menggubal undang-undang domestik yang ketat termasuk Akta Perdagangan Strategik 2010 yang bertujuan mengawal pengedaran senjata konvensional di pasaran gelap.

Pada 26 September lepas, Malaysia menandatangani ATT semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York. -BERNAMA

Artikel Lain