suria

Kaligrafi Islam Sesuatu Yang Suci Dari Segi Fungsi & Bentuk - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kaligrafi Islam sebagai satu tradisi kesenian Islam yang suci dari segi fungsi dan bentuknya.

Beliau berkata kaligrafi mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Islam kerana ia merupakan sebahagian daripada struktur iman seperti yang boleh dilihat pada jubin yang menghiasi Taj Mahal sehinggalah ukiran pada Batu Bersurat Terengganu.

"Sesungguhnya, bagi artis beragama Islam, menghasilkan kaligrafi itu sendiri adalah suatu ibadah; setiap sentuhan akan lebih mendekatkan mereka dengan Allah.

"Bagi kita yang tidak memiliki bakat sebegini akan menghormati dan menjadikan karya mereka sebagai inspirasi," katanya ketika merasmikan Pameran Kaligrafi Muslim Kontemporari Nun Wa Al Qalam di Muzium Kesenian Islam di sini malam Isnin.

Pameran itu, yang menampilkan 36 karya lapan artis kaligrafi dari seluruh dunia, akan berlangsung sehingga 10 Mei tahun depan.

Pada majlis makan malam selepas itu, Perdana Menteri menerima sumbangan RM1 juta daripada Yayasan Albukhary untuk mangsa banjir di semenanjung Malaysia.

Turut hadir Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata muzium perlu berupaya menarik perhatian dalam zaman yang mengelirukan ini.

Beliau juga berkata muzium bukan sekadar gambaran masa lampau malah merupakan bayangan masa depan. - BERNAMA

Artikel Lain