suria

Dapatkan Maklumat Lengkap Sebelum Beli Produk Telekomunikasi - Shabery

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menasihatkan orang ramai mendapatkan maklumat lengkap sebelum membeli produk telekomunikasi dan multimedia untuk memastikan mereka mendapat perkhidmatan terbaik.

Beliau berkata walaupun kerajaan menyediakan infrastruktur dan undang-undang bagi menyediakan perkhidmatan telekomunikasi yang terbaik, langkah awal harus diambil oleh pihak pengguna sendiri bagi memastikan hak mereka dilindungi.

Katanya InfoKONSUMER.my, portal maklumat perkhidmatan telekomunikasi dan multimedia yang sedang dibangunkan Forum Pengguna dan Multimedia (CFM) akan menyalurkan maklumat lengkap mengenai produk dan peralatan telekomunikasi dan multimedia kepada pengguna.

"Portal maklumat InfoKONSUMER.my secara online yang akan disediakan oleh CFM kelak akan membantu kerajaan dalam usaha untuk memperkasakan pengetahuan rakyat dalam isu-isu kepengunaan membabitkan komunikasi dan multimedia," kata Ahmad Shabery dalam ucapannya sebelum melancarkan InfoKONSUMER.my di sini, Selasa.

Turut hadir Pengerusi CFM Dr Elistina Abu Bakar.

Katanya portal berkenaan diwujudkan tepat pada masanya kerana pengguna di Malaysia kerap membuat aduan di media dan di alam siber mengenai tahap perkhidmatan telekomunikasi yang kurang memuaskan, antaranya penyataan bil yang mengelirukan dan banyak kos-kos yang tersembunyi yang tidak diberitahu kepada pengguna.

Ahmad Shabery berkata CFM akan mengumumkan kelak bila portal itu beroperasi.

Sementara itu, Dr Elistina berkata maklumat yang akan disalurkan portal itu nanti sangat berinformatif dari sumber-sumber yang boleh dipercayai dan memberi pilihan terbaik kepada pengguna dalam membuat pemilihan melanggan mana-mana perkhidmatan telekomunikasi dan multimedia.

InfoKONSUMER.my merupakan jalan penyelesaian kepada pelbagai permasalahan dalam perkhidmatan jalur lebar, telefon bimbit, saluran televisyen berbayar dan juga talian telefon tetap, katanya.

Katanya orang ramai kini boleh mendapatkan pelbagai maklumat mengenai produk telekomunikasi dan multimedia dengan melayari laman web www.cfm.org.my. -BERNAMA

Artikel Lain