suria

Bekas Pengerusi NFCorp Dipanggil Semula Beri Keterangan

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail akan dipanggil semula untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes tipu ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail membabitkan wang berjumlah RM1.755 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pembelaan untuk memanggil semula Mohamad Salleh mengikut Seksyen 162 Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah menetapkan 20 Februari tahun depan untuk mendengar keterangan beliau.

Terdahulu, peguam Kamarul Hisham Kamaruddin memaklumkan pihaknya akan menyoal balas saksi ke-42 itu berhubung peranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang namanya disebut dalam kelima-lima pertuduhan terhadap Shamsubahrin.

Pada 26 November lepas, Rozilah meminda lima pertuduhan itu mengikut Seksyen 158 Kanun Tatacara Jenayah dengan memasukkan nama Dr Mahathir apabila memutuskan Shamsubahrin perlu membela diri terhadap pertuduhan menipu itu selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Shamsubahrin didakwa menipu iaitu menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat dengan menyatakan dia disuruh Dr Mahathir bagi membantu Mohamad Salleh serta menawarkan untuk menjalankan kerja-kerja konsultan bernilai RM2.75 juta sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Sid's Pub di H2, Taman Tunku, Off Langkat Tunku di sini pada 6 petang 20 November 2011 mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua hingga kelima, Shamsubahrin didakwa menipu iaitu secara tidak jujur memujuk Mohamad Salleh dengan menyatakan dia disuruh Dr Mahathir membantu dan menawarkan untuk melakukan kerja-kerja konsultan.

Perbuatan itu mendorong Mohamad Salleh menyerahkan empat keping cek yang kesemuanya bernilai RM1.755 juta dan mempercayai sebahagian daripada wang itu adalah untuk bayaran perkhidmatan rundingan, nasihat serta diberi kepada pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana bagi menutup kes yang sedang disiasat berkaitan NFCorp.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di beberapa bank di Taman Tun Dr Ismail; Kuala Lumpur City Centre (KLCC); dan Petaling Jaya antara 25 Nov dan 5 Disember 2011.

Shamsubahrin didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia juga diperintah membela diri terhadap 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Lain