suria

Rasuah: Bekas Sarjan Dihukum Penjara Setahun, Denda RM10,000

ALOR SETAR: Seorang bekas Sarjan polis pada Isnin dihukum penjara setahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar setelah didapati bersalah menerima suapan RM500 bagi menukar air kencing positif dadah di Sungai Petani dua tahun lepas.

Hakim Ooi Sheow Yean menjatuhi hukuman itu terhadap Hashim Said, 59, setelah mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda RM10,000.

Hashim yang ketika itu bertugas di bahagian Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kuala Muda, Sungai Petani dituduh menerima rasuah untuk diri sendiri wang tunai RM500 daripada Azmi Hashim, 51, melalui seorang bernama Shahfarid sebagai dorongan untuk menukar air kencing Ammar Azmi, 19, yang positif dadah jenis meth kepada negatif.

Bekas polis itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di restoran Nasi Kandar Ayam Kampung Haji Ramli Simpang Empat, Alor Setar kira-kira pukul 10 malam 26 Jun 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili peguam Rahmatullah Baharudeen memohon mahkamah menjatuhi hukuman minimum kerana ini kesalahan pertama anak guamnya selain telah insaf dan berjanji tidak mengulangi perbuatan itu.

Rahmatullah berkata semasa kejadian, anak guamnya mempunyai tempoh lima bulan sahaja lagi untuk bersara. Tertuduh digantung kerja dan tidak mendapat gaji sejak Julai 2011.

"Tertuduh mempunyai seorang isteri dan tiga anak dan dia sendiri memerlukan rawatan penyakit diabetes. Bagi mengenang jasa dia yang sudah berkhidmat lebih 30 tahun dalam polis, saya merayu hukuman paling minimum," kata Rahmatullah.

Pegawai Pendakwa daripada SPRM Syarul Khuzaini Amiruddin sebaliknya memohon mahkamah menjatuhi hukuman berat kerana kes itu mencalar imej polis dan tertuduh juga sepatutnya menjadi contoh tauladan kepada penguat kuasa lain dalam usaha membanteras rasuah. "Pengamal rasuah di luar sana perlu melihat badan kehakiman memandang serius kes rasuah dan pembanterasannya," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain