suria

Najib Ikrar Untuk Terus Menyebarkan Kebaikan Kesederhanaan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar untuk terus menyebarkan kebaikan kesederhanaan, dengan harapan untuk menyatukan semua di bawah satu tujuan.

"Tujuannya ialah untuk mencapai keamanan bukan sahaja semasa zaman kita, tetapi untuk sepanjang masa," katanya dalam posting di Facebook beliau pada Isnin.

Najib, yang menerima Anugerah Keamanan Global 2013, di atas usahanya menggalakkan keamanan sejagat, daripada Yayasan Keamanan Global (GPF) pada Sabtu lepas, berkata ia merupakan satu penghormatan untuk menerima anugerah itu.

"Walaupun laluan kepada keamanan sebenar masih jauh dan berliku, saya yakin kami telah mencapai kejayaan dalam usaha menggalakkan persefahaman dan muhibah dalam kalangan rakyat.

"Saya percaya bahawa keamanan hanya boleh dicapai sekiranya kita bersedia untuk mengadakan dialog sebagai ganti kepada konflik," katanya.

Majlis GPF, yang memilih penerima pada tahun ini dalam beberapa kategori, berkata Perdana Menteri Malaysia dipilih atas usahanya membina hubungan antara kebudayaan, merintis Pergerakan Kesederhanaan Global dan peranannya dalam menyelesaikan konflik Bangsamoro antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro. -BERNAMA

Artikel Lain