suria

Mangsa Banjir Boleh Tangguh Bayar Balik Pinjaman Tekun - Ismail Sabri

BERA: Kerajaan bersetuju membenarkan penangguhan pembayaran balik pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) bagi peminjam yang terjejas akibat bencana banjir.

Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penangguhan itu bagi mengurangkan beban peminjam yang perniagaan mereka terjejas akibat banjir.

"Tekun bersedia menambah dana dan pinjaman tambahan kepada usahawan yang menjadi mangsa banjir sekiranya mereka mahu berbuat demikian bagi membolehkan mereka mengurus dan menjalankan perniagaan selepas ini.

"Saya percaya, mereka menghadapi masalah kewangan untuk pembayaran semula dan kita perlu membantu mereka bagi meneruskan perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di lapan buah pusat penempatan banjir di sini, Ahad.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Bera, Datuk A Rahman Hamzah.

Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera berkata, peminjam yang berhasrat membuat pinjaman tambahan perlu mengisi borang permohonan dan mengikut prosedur ditetapkan sebelum ia diluluskan.

"Tekun menyediakan dana tambahan antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap usahawan agar mereka dapat menyambung perniagaan dengan lebih baik.

"Kepada peminjam yang berdisplin dan membuat bayaran mengikut jadual, Tekun bersedia menimbang sama ada jumlah bayaran pinjaman dikurangkan atau apa sahaja yang berpatutan bagi mengurangkan bebanan mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain