suria

Kes Kugan: Rayuan Polis, Kerajaan Didengar 28 Februari Tahun Depan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 28 Februari tahun depan untuk mendengar rayuan pihak polis, kerajaan dan seorang bekas konstabel berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan mereka bertanggungjawab terhadap kematian A.Kugan serta memerintahkan lebih RM801,700 dibayar sebagai ganti rugi kepada keluarga lelaki itu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, yang sepatutnya mendengar rayuan itu hari ini, menangguhkan pendengaran kes itu kerana dua lagi anggotanya iaitu Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk David Wong Dak Wah perlu mendengar kes lain.

Polis dan kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad, Konstabel V.Navindran oleh Ramesh Sivakumar manakala peguam R.Sivarasa dan Bani Prakash mewakili ibu Kugan iaitu N.Indra, yang memfailkan saman terhadap Ketua Polis Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar (kini Ketua Polis Negara), Navindran, bekas Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar (yang telah meninggal dunia), Ketua Polis Negara dan kerajaan.

Indra, 46, memfailkan saman berhubung kematian anak lelakinya itu ketika dalam tahanan di Balai Polis Taipan USJ pada 20 Januari 2009.

Kugan, 22, ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian kereta mewah.

Pada 26 Jun lepas, Hakim Datuk VT Singham (kini bersara) memerintahkan defendan membayar RM192,000 sebagai ganti rugi bagi kehilangan penyara; RM9,700 sebagai kos pengebumian; RM50,000 (kesakitan dan penderitaan); RM50,000 (serangan dan pukulan); RM100,000 (penahanan salah); RM100,000 (misfeasans) dan RM300,000 (ganti rugi teladan).

Sebelum itu, Navindran dihukum penjara tiga tahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan mencederakan Kugan.

Memorandum rayuan kesemua defendan mendakwa keputusan Mahkamah Tinggi memberi award bagi misfeasans adalah salah dan melampaui Akta Undang-Undang Sivil 1956.

Mereka mendakwa Indra memfailkan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 7 dan 8 akta berkenaan yang tidak membabitkan tuntutan bagi misfeasans. -BERNAMA

Artikel Lain