suria

Kes Bunuh Pengasas Ambank Dipindah Ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini, Isnin memindahkan kes bunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian (AmBank) Hussain Ahmad Najadi yang ditembak di tempat letak kereta pada Julai lepas, ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin juga memindahkan kes cubaan membunuh isteri pengasas itu, Cheong Mei Kuen, 49, ke mahkamah sama.

Bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan. Erry Shahriman membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwa raya supaya kedua-dua kes itu dpindahkan ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 177A dan Seksyen 418A Kanun Acara Jenayah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pihaknya memohon kes cubaan bunuh isteri pengasas dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, walaupun itu biasanya dibicarakan di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 418A Kanun Acara Jenayah.

Pada 3 Oktober lepas, penarik kereta Koong Swee Kwan didakwa terhadap pertuduhan membunuh pengasas itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Koong, 44, turut berdepan pertuduhan cubaan membunuh isteri mangsa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan. Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta Tokong Cina Kuan Yin No. 4 Lorong Ceylon, Daerah Dang Wangi, di sini pada 1.30 tengah hari hingga 2 petang, 29 Julai lepas.

Dalam kejadian itu, Hussain, 75, maut manakala isterinya cedera parah setelah ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta sejurus keluar dari tokong berkenaan selepas berunding mengenai urusan perjanjian tanah. -BERNAMA

Artikel Lain