suria

Kerjasama Malaysia-Brunei Di Bawah EOL Bawa Banyak Manfaat - Najib

BANDAR SERI BEGAWAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerjasama erat dan komitmen tinggi Malaysia dan negara Brunei Darussalam dalam pelaksanaan prinsip-prinsip di bawah Pertukaran Surat atau EOL membawa hasil positif dan manfaat besar kepada kedua-dua negara.

Perdana menteri berkata antara perkembangan ketara pelaksanaan EOL yang dimeterai pada Mac 2009 ialah kejayaan hubungan dua hala Malaysia dan Brunei khususnya dalam sektor cari gali minyak dan gas.

"Satu daripada peruntukan penting di bawah EOL ialah Commercial Arrangment Area (CAA) yang melibatkan soal pembangunan sektor minyak dan gas. Perlu saya nyatakan di sini bahawa perkembangan kerjasama antara Malaysia melalui Petronas dan Brunei Darussalam telah menghasilkan perkembangan positif.

"Antaranya, tiga hari lalu telah ditemui sebuah kawasan gas yang agak besar di kawasan CA2 dan ini menjadikan penemuan lebih awal itu, apabila dicantumkan, menjadi kawasan yang berdaya maju dari segi komersial. Mengikut jadualnya, kawasan ini menjadi punca untuk membekalkan (gas kepada) Brunei LNG yang amat memerlukan tambahan bekalan gas," katanya.

Najib berkata demikian kepada wartawan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebelum berlepas ke ibu negara lewat malam tadi selepas mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman sempena Rundingan Tahunan Ke-17 kedua-dua negara di sini.

Turut hadir pada sidang akhbar berkenaan ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman. Menurut Najib, susulan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) bagi Blok CA1 dan Blok CA2 pada tahun 2010 antara Petronas dan Petroleum BRUNEI (PB), jalinan kerjasama berkenaan diperluaskan lagi melalui pemeteraian Surat Kerjasama antara Petronas dan PB dalam rundingan tahunan kali ini.

Katanya melalui pemeteraian berkenaan, pelbagai inisiatif kerjasama strategik diadakan, bagi manfaat kedua-dua negara termasuk penganugerahan hak eksplorasi minyak dan gas kepada Petronas di kawasan Blok N dan Q serta menggiatkan kerjasama dalam industri hiliran seperti projek limbungan fabrikasi di Muara Besar, Brunei Darussalam.

"Di samping itu, kita akan teruskan perbincangan untuk memperluas aktiviti minyak di kawasan CA1. Satu perkembangan menarik ialah program atau model unitisation iaitu kawasan minyak dan gas yang merupakan kawasan merentasi perairan kedua-dua negara telahpun dapat diselesaikan mengikut kaedah-kaedah yang boleh diterima kedua-dua pihak.

"Maka dengan selesainya persetujuan dari segi pembahagian minyak dan gas, dijangka mulai akhir suku pertama tahun hadapan pengeluaran minyak Malaysia dapat ditingkatkan kepada tahap yang lebih tinggi apabila kawasan itu dapat menjana pengeluaran minyak," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain