suria

Jahara Bidas Wakil Rakyat Negeri Tidak Hormati Demokrasi

GEORGE TOWN: Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid membidas sikap wakil rakyat penyokong kerajaan negeri yang tidak menghormati demokrasi dalam persidangan DUN.

Katanya sebagai ketua pembangkang beliau sepatutnya diberi peluang dan ruang untuk menyuarakan isu-isu berbangkit di negeri ini.

Beliau berkata tindakan wakil rakyat yang tidak memberi peluang kepadanya untuk berbahas telah menjadikan persidangan DUN pada hari ini berlangsung dalam keadaan huru-hara dan tidak teratur.

"Apa yang berlaku tadi menunjukkan mereka tidak boleh menerima teguran. Dulu tak bagi kita tanya soalan. Sekarang bila kita tanya soalan, mereka jawab dan apabila kita minta penjelasan mereka tidak boleh terima. "Setiap perkataan yang saya cakap semua mereka bantah, sampai saya tak boleh cakap. Apa yang saya bangkitkan semua diputarbelitkan. Speaker DUN (Datuk Law Choo Kiang) juga gagal mengawal sikap wakil rakyat pakatan pembangkang," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Jahara berkata semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN), semua penyokong kerajaan tidak pernah menyekat mana-mana wakil rakyat untuk membahaskan sesuatu isu malah memberikan masa yang secukupnya.

"Dulu kita biasa bagi masa Phee Boon Poh bercakap sampai dua, tiga jam. Kita tak ganggu dia, kita tak halang dan sekat dia. Saya tak menuduh sesiapa pun tadi (persidangan DUN). Saya bertanya soalan tentang beberapa isu...terimalah soalan saya, jawab sahajalah," katanya.

Dalam pada itu, Jahara mahu kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung tindakan pengusaha pusat pelancongan di Pulau Jerejak yang menukarkan nama pulau itu kepada 'Pulau Mazu'.

"Isu penukaran nama pulau ini sudah pun kami ketengahkan dan rakyat negeri ini pun sudah tahu. Jadi, terpulanglah kepada semua untuk menilai dan kita mahu kerajaan negeri menjawabnya," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain