suria

Edar Dadah: Warga Nigeria Terlepas Hukuman Gantung

PUTRAJAYA: Seorang warga Nigeria terlepas hukuman gantung sampai mati apabila dia dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada pertuduhan mengedar 707.5 gram dadah jenis methamphetamine.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azahar Mohamed sebulat suara membenarkan rayuan Nolose Albert Raleshome untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman mati terhadapnya selepas didapati bersalah.

Panel itu turut dianggotai Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Zakaria Sam.

Dalam penghakimannya, Azahar berkata mahkamah berpendapat keterangan lisan ahli kimia Muzaiyanah Mohd Kaprawi berhubung analisis yang dilakukan terhadap dadah berkenaan adalah bercanggah dengan laporan yang disediakan beliau.

Oleh itu, beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi gagal memberi penilaian maksimum terhadap keterangan saksi berkenaan. Justeru, Azahar berkata pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes terhadap Raleshome, 34, dan Mahkamah Tinggi sepatutnya membebaskan tertuduh.

Raleshome didakwa melakukan kesalahan itu di parkir Medan Selera 118 di Taman Len Seng, Cheras pada 12 tengah hari 30 Disember 2010.

Penghakiman dalam kes itu dipercayai merupakan satu 'landmark' berhubung keterangan ahli kimia.

Tertuduh diwakili peguam Karpal Singh dan Zaleha Al-Hayat manakala Timbalan Pendakwa Raya Munahyza Mustafa bagi pendakwaan. -BERNAMA

Artikel Lain