suria

Perhimpunan Agung Umno 2013: PM Bawa Pulang Tiga 'Bekalan'

Najib meninggalkan PWTC selepas selesai ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno Ke-67 pada Sabtu. Foto: AZHAR MAHFOF/The Star
Najib meninggalkan PWTC selepas selesai ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno Ke-67 pada Sabtu. Foto: AZHAR MAHFOF/The Star
Najib meninggalkan PWTC selepas selesai ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno Ke-67 pada Sabtu. Foto: AZHAR MAHFOF/The Star

KUALA LUMPUR: Kejayaan Perhimpunan Agung Umno 2013 dapat diukur melalui mesej dan bekalan yang dapat dibawa pulang.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata terdapat tiga bekalan diperolehi daripada perhimpunan kali ini yang boleh dijadikan panduan untuk parti meneruskan perjuangan.

"Yang pertama perhimpunan ini menyatakan menyokong kesungguhan kerajaan meninggikan syiar dan syariat Islam di tanahair kita serta mempertahankan kemuliaan dan kesucian agama kita ini.

"Mesej kedua bahawa kita ahli Umno dan bumipuera amat ingin melihat agenda memperkasakan ekonomi bumiputera dilaksanakan secara bersungguh-sungguh," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung 2013 di sini, Sabtu.

Najib yang juga perdana menteri berkata bekalan ketiga yang boleh dibawa balik hasil daripada perhimpunan ini ialah transformasi dalam parti.

Beliau berkata dalam memartabatkan Islam Umno berada di landasan yang betul.

Katanya hakikat ini telah diperakui oleh tiga tokoh agama terkenal dunia dalam pertemuan tertutup dengan beliau yang dijemput menjadi pemerhati antarabangsa dalam perhimpunan kali ini.

Antara tokoh tersebut adalah Ketua Biro Politik Hamas Khaled Meshaal.

Beliau turut mengumumkan bahawa Fasal 33 Perlembagaan Parti akan digubal.

"Di mana kita bukan lagi sebut Islam agama rasmi, kita akan sebut Islam agama Persekutuan.

"Dan kita akan katakan Islam pegangan As Sunnah wal Jamaah dengan jelas dalam Perlembagaan Parti," katanya.

Bercakap mengenai memperkasa ekonomi Melayu dan Bumiputera, Najib menerima dan komited tuntutan parti berhubung perkara ini.

Jelasnya beliau telah berbincang dengan ketua-ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan menegaskan bahawa agenda pemerkasaan Bumiputera adalah agenda nasional dan perlu dilakukan sebaik mungkin.

"Maka kita akan jadikan perkara ini sebagai KPI untuk syarikat-syarikat GLC.

"Saya dan rakan-rakan akan memantau perkara ini...akhir tahun saya nak tengok 'report card'," katanya.

Dari segi transformasi parti, Najib berkata landskap politik dalam Umno perlu berubah kerana pada zaman sekarang tiada parti politik yang kebal.

Katanya pimpinan akar umbi perlu menjalankan mesyuarat di peringkat cawangan, bahagian dan negeri dua bulan sekali mengikut Perlembagaan bagi memperkasakan parti.

Tegasnya, perkara ini juga akan dijadikan ssbagai KPI.

"Di situlah letaknya bala tentera kita, di situlah letaknya teras kekuatan kita.

"Bila kita tak mesyuarat siapa nak tengok masalah parti, siapa nak pergi ke masjid dan surau," katanya.

Dalam mentransformasikan Umno, beliau mengakui terdapat kelonggaran dari segi pemilihan.

Pun begitu katanya, dengan kuasa yang dimiliki beliau telah melakukan perubahan dengan melantik golongan seperti ulama, profesional dan ilmuan bagi membarisi kepimpinan parti.

Najib turut mengakui bahawa lebih ramai pemimpin muda perlu dilatih sebagai pelapis untuk meneruskan perjuangan parti.

Dalam hal ini beliau berkata anggota yang sudah tua harus memberi peluang dan laluan kepada orang muda untuk bersama-sama memimpin parti.

Artikel Lain