suria

Wakil Sabah Cadang UMS Wujud Fakulti Pengajian Islam

KUALA LUMPUR: Wakil Umno Sabah pada Sabtu mencadangkan supaya Universiti Malaysia Sabah (UMS) mewujudkan fakulti pengajian Islam dalam usaha untuk memperkukuhkan dakwah Islam di negeri itu.

Naib Ketua Umno Bahagian Kimanis, Datuk Arifin Mohd Arif berkata, selain itu penubuhan fakulti tersebut turut bertujuan untuk memperkasakan pendidikan dan keilmuan Islam di Sabah.

"Ini (fakulti) belum terjadi dan saya meminta supaya cadangan saya dapat direalisasikan.

"Saya mahu dakwah Islam dapat diperkukuhkan lagi di Sabah melalui pendidikan," katanya ketika membahaskan usul agama dan pendidikan pada hari ketiga Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Mengenai perkembangan dakwah Islam di Sabah, Arifin berkata, Institut Pengajian dan Dakwah Sabah (Ipdas) yang merupakan pusat latihan dakwah negeri kini dinaiktarafkan pengajiannya ke peringkat diploma.

Sehubungan itu beliau mengucapkan syabas kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha menambahbaik taraf pendidikan di institusi tersebut.

"Dan saya minta agar ia (Ipdas) dinaiktarafkan lagi ke tahap ijazah agar anak-anak kita mampu berdakwah dan mereka dapat melanjutkan pendidikan," katanya.

Dalam perbahasan itu, beliau turut berkongsi cerita mengenai pertemuannya dengan seorang pelajar yang cemerlang pada majlis konvokesyen di sebuah pusat latihan dakwah di Kudat, Sabah.

Menurut Arifin, pelajar berkenaan merupakan seorang Mualaf di mana bapanya hampir menitiskan air mata ketika memegang ijazah anaknya itu.

"Dia (si ayah) sangat bangga dengan anaknya seorang Mualaf yang mendapat anugerah terbaik.

"Dia sebenarnya bukan beragama Islam tetapi bangga dengan anaknya menjadi pendakwah sedangkan dia bukan Islam.

"Luar biasa, inilah dakwah Islam yang seharusnya kita perkukuhkan lagi," katanya.

Artikel Sebelum

Umno Tidak Pernah Rasis - PM

Artikel Lain