suria

SPR: Kekacauan Perjalanan PRK Didalangi Parti Politik

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin terdapat pihak tertentu melatih sekumpulan orang untuk membuat kacau semasa pilihan raya kecil (PRK) Sungai Limau, baru-baru ini, kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff.

Beliau berkata kumpulan itu juga bergerak dari satu PRK ke PRK dengan tujuan tertentu bagi memperlihatkan perjalanan PRK tidak bersih.

"Kita melihat muka-muka sama iaitu orang luar berada di Sungai Limau, semasa pilihan raya kawasan Dewan Undangan Negeri itu berlangsung baru-baru ini. Muka-muka ini juga dilihat semasa PRK Kuala Besut berlangsung.

"SPR bagaimanapun tiada kuasa mengambil tindakan terhadap mereka kerana ia di bawah bidang kuasa polis," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada para petugas PRK Sungai Limau dalam jamuan malam di sini, Jumaat malam.

Beliau berkata keadaan sama berlaku dalam pilihan raya umum (PRU) dan lebih tertumpu di kawasan tertentu namun PRK lebih ketara kerana menjadi tumpuan ramai.

Abdul Aziz berkata SPR juga mendapati badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik pihak tertentu bertindak di luar bidang kuasa terutama dalam PRU iaitu menahan kenderaan dan orang tempatan yang rupanya seperti rakyat asing.

Beliau berkata tindakan NGO tersebut seolah-olah membantu parti politik tertentu kerana pemerhati dan pemantau yang dilantik oleh SPR hanya membuat catatan bertujuan menambah baik perjalanan pilihan raya.

Menurutnya masalah lain yang sukar diatasi ialah budaya rakyat Malaysia enggan mematuhi peraturan waktu berkempen yang tamat pada pukul 12 tengah malam kerana mereka terus berkempen pada hari mengundi.

"Mereka seharusnya balik selepas waktu itu namun masih lagi datang pada hari mengundi untuk merayu pengundi dengan membawa poster calon. Mereka memberi alasan bukan kempen tetapi meraih dan merayu namun bagi SPR ia adalah kempen.

"Saya ingin menegaskan SPR sentiasa bertindak profesional. Kami tidak membantu kemenangan atau kekalahan calon. Kita layan semua pihak sama rata," kata Abdul Aziz.

Beliau berkata PRK Sungai Limau baru-baru ini berjalan dengan baik kecuali satu kes seorang jentera Pemuda PAS menumbuk seorang petugas Wanita Barisan Nasional yang mencemarkan PRK itu.

Katanya menjadi tradisi SPR mengadakan post-mortem setiap PRK selepas sebulan ia berlangsung untuk mengkaji setiap maklum balas daripada kumpulan petugas terbabit kecuali parti politik.

Abdul Aziz berkata setiap maklum balas bermula daripada proses penamaan calon, kempen, hari mengundi, pengiraan undi dan pengumuman keputusan dikaji dengan teliti supaya kesilapan sama tidak dilakukan pada masa akan datang.

Mesyuarat post-mortem itu berlangsung hari ini di sini turut dihadiri semua pegawai kanan SPR.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Tidak Pernah Rasis - PM

Artikel Lain