suria

Semakan Tarif Elektrik Ambil Kira Kepentingan Rakyat - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semakan semula tarif elektrik baru-baru ini mengambil kira kepentingan rakyat dengan memastikan kebanyakan rakyat tidak terjejas.

Beliau berkata kenaikan itu tidak akan menjejaskan kira-kira 71 peratus daripada pengguna domestik di seluruh negara, dengan tidak sampai 30 peratus pengguna yang terlibat dengan kenaikan adalah pengguna industri dan komersil.

"Tenaga Nasional Bhd sebagai satu badan (pembekal tenaga elektrik) memerlukan RM6 bilion setahun untuk pelaburan. Jika tidak dinaikkan ia akan menjejaskan daya maju, liabiliti kewangan TNB tapi kita pastikan rakyat teramai tak terjejas," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno 2013, Sabtu.

Isnin lepas, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengumumkan subsidi elektrik dan gas akan disemak semula, dengan kadar purata tarif elektrik di Semenanjung Malaysia dinaikkan sebanyak 14.89 peratus atau 4.99 sen sekilowat sejam (KWJ) kepada 38.53 sen/kwj, berkuat kuasa 1 Jan 2014. Tarif elektrik semasa ialah 33.54 sen.

Bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan kadar purata tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 5 sen KWJ atau peningkatan 16.9 peratus daripada kadar semasa iaitu 29.52 sen KWJ kepada 34.52 sen KWJ, berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Bagaimanapun, 70.67 peratus atau 4.56 juta daripada keseluruhan 6.45 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 62 peratus atau 260,000 daripada 418,000 pengguna domestik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, yang menggunakan elektrik pada kadar 300 KWJ dan ke bawah, tidak terlibat dengan semakan itu.

Sarawak tidak terlibat dalam semakan tarif itu berikutan sektor tenaga negeri itu dikawal selia enakmen negeri itu sendiri.

Ditanya mengenai langkah pengurangan subsidi selepas Pilihan Raya Umum ke-13, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata ia diputuskan kerajaan bagi mengukuhkan lagi kedudukan fiskal negara.

"Kita nak tentukan kewangan negara lebih kukuh lagi. Dari segi kepentingan rakyat, kita mempunyai Jaringan Keselamatan Sosial, kita tambah lagi, misalnya kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kita naikkan, kita ada lagi i-BR1M, insurans takaful dan sebagainya.

"Kita boleh timbangkan (untuk sebarang kenaikan lagi) dari semasa ke semasa, tapi kita perlukan kekuatan fiskal untuk negara kita," katanya.

Najib juga berharap rakyat akan memahami kajian semula subsidi baru-baru ini adalah sebahagian daripada penyatuan fiskal.

"Mereka perlu memahami inilah prosesnya. Akan ada kesusahan jangka pendek dan bukan kesusahan yang teruk, kesusahan kecil tetapi dalam jangka panjang ia akan memberi kebaikan kepada rakyat," katanyaid. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Tidak Pernah Rasis - PM

Artikel Lain