suria

Polis Tahan Dua Suspek Samun, Tikam Isteri Peniaga Komputer

TAWAU: Polis menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun dan tikam isteri peniaga komputer di sini pada 18 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah berkata kedua-dua suspek warga tempatan yang berumur 19 dan 23 tahun itu ditahan sekitar bandar Tawau secara berasingan.

"Suspek pertama ditahan pada Ahad lepas dan daripada maklumat yang kami peroleh berikutan tangkapan itu, pada Selasa lepas, kami menahan seorang lagi suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan reman seminggu mulai tarikh mereka ditangkap dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Awang Besar berkata polis masih memburu seorang lagi suspek.

Pada 18 Nov lepas, mangsa cedera di dada selepas ditikam oleh dua lelaki yang menyamun telefon bimbitnya di premis perniagaan suami wanita itu di sini.

Dalam kejadian itu, suspek yang memakai topi keledar memasuki premis berkenaan dan terus mengambil telefon bimbit mangsa yang terletak di atas meja sebelum cuba melarikan diri.

Mangsa mengejar mereka sambil berteriak meminta tolong namun seorang daripada suspek berpatah balik dan menikam dada wanita itu.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Tidak Pernah Rasis - PM

Artikel Lain