suria

PM Kongsi Kisah "Saya Bentong, Pahang"

Najib Tun Razak. Foto: GLENN GUAN/The Star
Najib Tun Razak. Foto: GLENN GUAN/The Star
Najib Tun Razak. Foto: GLENN GUAN/The Star

KUALA LUMPUR: Kisah lucu mengenai seorang anak Melayu yang baharu belajar bahasa Inggeris sebagai persediaan melanjutkan pelajaran di luar negara yang disampaikan oleh seorang perwakilan dalam ucapan perbahasannya menarik perhatian Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, ucapan bahas perwakilan itu mengingatkan beliau kepada kisah seseorang yang tidak boleh diberitahu namanya di mana ianya berlaku di lapangan terbang di London.

"Bila dia disambut oleh 'orang putih' di lapangan terbang di London dan orang putih itu bertanya 'How do you like to be addressed? Dan dia pun menjawab 'Bentong, Pahang' (yang mungkin ingat address itu baginya bermaksud alamat atau berasal dari mana)," katanya.

Beliau berkata demikian menggamatkan para perwakilan ketika berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Najib berkata, kisah tersebut termasuk ucapan usul perwakilan itu adalah pengajaran akibat tidak faham bahasa Inggeris.

Bagaimanapun Najib berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 di bawah Menteri Pendidikan yang juga Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membantu untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat.

Pada Jumaat, perwakilan dari Wilayah Persekutuan, Afendi Zahari menerusi perbahasan usul ekonomi berkata, kisah yang diceritakannya itu berlaku di lapangan terbang apabila pelajar dari Pantai Timur tersebut terlanggar seorang warga asing dan cuba meminta maaf dalam bahasa Inggeris.

"Masa dekat tangga airport, budak ini terlanggar 'orang putih', lepas itu dia cakap 'I am sorry', disambut lelaki itu dengan 'I'm sorry too', bila dia dengar perkataan 'too', budak inipun jawab 'I'm sorry three'.

"Hairan dengan jawapan budak ini, lelaki itu tanya 'what for?', budak ini kemudian jawab lagi 'I'm sorry five'," kata Timbalan Ketua Umno Titiwangsa itu.

Katanya, mendengar jawapan budak itu yang tidak habis-habis meminta maaf, warga asing yang mula naik jemu itu berkata: "I'm sick of this".

Meneruskan ceritanya, Afendi berkata tanpa menyedari yang dia telah membuatkan warga asing itu hilang sabar, sebagai orang Melayu yang beradab, pelajar berkenaan berterusan meminta maaf dengan mengatakan "I'm sorry seven".

"Inilah masalahnya kalau kita tidak tahu cakap orang putih," katanya, disambut hilai ketawa anggota perwakilan yang hadir.

Artikel Sebelum

Umno Tidak Pernah Rasis - PM

Artikel Lain