suria

Penjawat Awam Diminta Bantu Mangsa Banjir

KUCHING: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal hari ini meminta penjawat awam yang berkhidmat di negeri dilanda banjir, agar membantu mangsa banjir di kawasan mereka dalam usaha merakyatkan perkhidmatan awam.

Mohamad Zabidi berharap ketua jabatan dapat menggalak kakitangan mereka untuk turut serta dalam kumpulan sukarelawan yang membantu mangsa banjir di negeri yang terjejas seperti Terengganu, Pahang, Kelantan dan Johor.

"Saya berharap ini menjadi satu daripada sumbangan kita merakyatkan (perkhidmatan awam) dalam keadaan kesusahan ini kita membantu mereka (agensi relevan) yang terlibat dengan mangsa banjir," katanya.

Mohamad Zabidi yang juga peneraju transformasi perkhidmatan awam berkata kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) bagi pekerja am dalam kumpulan pelaksana, Sabtu.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Morshidi Ghani.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang terlibat dalam usaha membantu semua mangsa banjir, termasuk pejabat daerah, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPA), Jabatan Kebajikan Masyarakat serta pegawai JPA di Institut Tadbiran Awam Negara wilayah timur, yang terputus bekalan makanan dan elektrik selama tiga hari di Kemaman, Terengganu baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohamad Zabidi berkata opsyen pertukaran pelantikan ke 81 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik di bawah Bajet 2014 itu akan melibatkan 635,000 penjawat awam di seluruh Malaysia.

Beliau berkata JPA sedang mengambil tindakan untuk melaksanakan skim itu, yang berkuat kuasa 1 Nov tahun ini, dengan memberi penjelasan berperingkat, termasuk di negeri-negeri dan badan berkanun yang terlibat.

Mengenai mesyuarat MBK kali ini, katanya kewujudan MBK jelas menunjukkan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam memastikan semua pekerja melalui wakil yang dilantik mempunyai ruangan yang terbaik untuk membincangkan perkara berkaitan soal saraan, elaun, kemudahan dan syarat perkhidmatan secara keseluruhan.

Ia juga dapat mewujudkan kerjasama erat antara kedua-dua pihak ke arah meningkatkan kualiti dan kelestarian perkhidmatan awam yang cekap, berkesan serta harmonis selari dengan program transformasi JPA kerana banyak membantu menyelesaikan permasalahan yang dibangkitkan, katanya.

Ditubuhkan pada 25 Jun 1992 sebagai jentera perundingan, MBK terdiri daripada tiga kategori -- bagi pekerja pengurusan dan profesional, pekerja sains dan teknologi dalam kumpulan pelaksana serta pekerja am dalam kumpulan pelaksana.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Tidak Pernah Rasis - PM

Artikel Lain