suria

Pemimpin Umno Diseru Contohi Kepimpinan Rasulullah

KUALA LUMPUR: Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Badruddin Amiruldin pada Sabtu menyeru barisan pemimpin parti yang baru dipilih di setiap peringkat agar mencontohi kepimpinan Rasulullah dan para sahabat baginda.

"Kejayaan mereka sebab mereka menjadikan takwa sebagai teras kepimpinan," katanya pada sesi penggulungan perbahasan di Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Sabtu.

Beliau mengambil kesempatan itu untuk mengucapkan terima kasih kepada para perwakilan dan jentera parti yang memberi kepercayaan untuk beliau terus menjadi pengerusi tetap Umno.

"Saya juga ingin merakamkan tahniah kepada Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana terus diberi mandat sebulat suara oleh seluruh ahli parti untuk memimpin kita. Tahniah juga kepada kepimpinan di setiap peringkat," katanya.

Dalam pada itu, kata Badruddin, tidak kira siapa pun yang telah dipilih sebagai pemimpin parti, anggota Umno perlu menerima keputusan pemilihan dengan hati terbuka.

"Kita telah pilih. Kukuhkan barisan, turun ke gelanggang dan pastikan Barisan Nasional menang pada pilihan raya umum akan datang," katanya disambut tepukan gemuruh dan sorakan daripada perwakilan dan pemerhati yang berada di dalam dan luar dewan persidangan.

Perhimpunan Agung Umno kali ini buat kali pertama diadakan selepas pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada 12 Okt diikuti pemilihan anggota Majlis Tertinggi dan kepimpinan bahagian pada 19 Okt. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Tidak Pernah Rasis - PM

Artikel Lain