suria

Wanita Umno Harap Peruntukan 30 Peratus Kerusi Pada PRU-14

Rosni
Rosni
Rosni

KUALA LUMPUR: Wanita Umno berharap pengiktirafannya sebagai tulang belakang parti dapat disusuli dengan peruntukan 30 peratus kerusi parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) untuk ditandingi semasa pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penerangan Wanita Umno Datuk Rosni Zahari berkata ini bagi membolehkan sayap dengan 1.3 juta anggota itu mempunyai lebih pengaruh dalam politik tanah air.

Malaysia kata beliau antara negara Asean yang kaum wanitanya paling kurang mempunyai kuasa politik berbanding di Thailand, Indonesia dan Myanmar.

Cadangan 30 peratus itu membabitkan kira-kira 210 kerusi parlimen dan DU Nuntuk Wanita Umno, katanya ketika ditemui Bernama semasa beliau melawat Laman Media di Perhimpunan Agung Umno 2013, di sini hari ini.

Dalam pilihan raya umum lepas, Wanita Umno diperuntuk bertanding di 10 daripada 222 kerusi parlimen atau 4.5 peratus. Daripada jumlah itu mereka menang di lapan kerusi.

Untuk kerusi DUN pula, Wanita Umno diperuntuk bertanding di 32 kerusi dan mereka menang 25.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan Wanita Umno secara rasmi sebagai tulang belakang parti semasa menyampaikan ucapan dasar dalam perhimpunan agung tahunan parti hari ini.

Menyifatkan ia sebagai pengiktirafan paling bersejarah selepas penubuhan pergerakan itu pada 1949, Rosni berkata Wanita perlu meningkatkan peranan mereka di saf hadapan dalam membantu rakyat.

Selain peranan tersebut, Wanita Umno juga terkenal sebagai pemain peranan utama semasa pilihan raya umum dan kecil.

Rosni juga berkata pengiktirafan itu akan membolehkan Wanita Umno memohon peruntukan kewangan yang lebih daripada parti bagi memperhebat gerak kerjanya.

"Kita mempunyai anggota yang komited, setia dan sentiasa menyumbang kepada parti sehingga membolehkan Umno menang sekali lagi dalam pilihan raya umum lepas," katanya.

Selain itu, beliau memberitahu semua perwakilan Wanita Umno yang terbabit dengan bencana banjir telah pulang ke kawasan masing-masing sejak semalam.

"Apabila diberitahu kawasan mereka terjejas kerana banjir, semua telah pulang bagi membantu keluarga," katanya dan menambah Wanita Umno akan menghantar Skuad Sayang bagi membantu mangsa banjir.

Banjir dilapor semakin buruk di Pahang dengan 29,270 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan setakat ini, manakala Johor (2,027), Kelantan (1,284), Terengganu (7,163) dan Melaka (25). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain