suria

Puteri Umno Tawar Diri Jadi Ejen Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera

KUALA LUMPUR: Puteri Umno pada Jumaat menawarkan diri untuk menjadi ejen Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera bagi membantu kerajaan mengimbangi penguasaan kekayaan dan ekonomi negara antara semua rakyat Malaysia.

Exco sayap itu, Datin Norsabrina Mohd Noor berkata, Puteri mahu memastikan agenda Bumiputera itu tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak, seperti amalan 'Ali Baba' dalam penyerahan kontrak yang menggunakan Bumiputera sebagai topeng bagi kontraktor bukan Bumiputera.

Tidak mahu keistimewaan Bumiputera itu seperti 'mencurah air ke daun keladi', beliau berkata jika amalan itu masih berterusan maka hasrat untuk merapatkan jurang ekonomi antara kaum tidak akan tercapai.

"Amat menyedihkan juga apabila hanya satu perempat syarikat di negara ini milik Bumiputera dan daripada jumlah itu, 88 peratus merupakan perusahaan mikro, iaitu mempunyai pendapatan RM250,000 setahun," katanya ketika membahaskan usul ekonomi di Perhimpunan Agung Umno 2013 di sini, Jumaat.

Norsabrina juga mengingatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang memainkan peranan penting dalam pelaksanaan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera supaya tidak menganggapnya sekadar Tanggungjawab Korporat Sosial atau sesuatu yang dilakukan pada masa lapang.

"Usah anggap agenda Bumiputera sebagai membebankan kerana tujuan asal GLC diwujudkan adalah untuk mendukung agenda negara dan pemerkasaan ekonomi Bumiputera adalah agenda negara," tegasnya.

Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 September lepas.

Selain itu, katanya Umno perlu berbangga dan tidak apologetik apabila berbahas mengenai isu ekonomi Bumiputera kerana hanya Umno sahaja harapan yang tinggal untuk memperjuangkan golongan Bumiputera.

"Umno harus jujur memperakui bahawa ekonomi Bumiputera belum berada di landasan meyakinkan, maksudnya Umno perlu mainkan peranan pada saat ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut