suria

Perwakilan Cadang Formula Wujud Lebih Ramai Jutawan Melayu, Bumiputera

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno 2013 terus menerima pelbagai usul dan cadangan termasuklah formula bagi mewujudkan lebih ramai jutawan Melayu dan Bumiputera.

Formula dicadangkan oleh wakil Umno Selangor, Haniff Roslan yang melihat kaum Melayu dan Bumiputera kini jauh terkebelakang berbanding kaum-kaum lain.

Katanya, kerajaan boleh menggunakan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mencapai tujuan tersebut.

"Kita mempunyai banyak GLC, tapi di manakah GLC tolong orang Melayu?

"Kalau tak menjadi masalah dan kesusahan saya mencadangkan sekiranya GLC bagi tempoh dua atau tiga tahun untuk wujudkan seorang jutawan, maka lima GLC akan wujudkan lima jutawan.

"Kalau tempoh enam tahun, kita akan wujudkan enam jutawan," katanya ketika membahaskan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno 2012 di sini, Jumaat.

Bagaimanapun, Ketua Umno Bahagian Pandan ini berkata, kerajaan harus menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) atau audit dalaman bagi syarikat-syarikat GLC melaksanakan perkara ini.

"Melaksana sahaja tak mencukupi kalau kita tak memantau pelaksanaan.

"Saya harap pemimpin melihat perjalanan GLC yang memang diwujudkan untuk membantu bangsa Melayu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sejarah telah menunjukkan ramai jutawan Melayu telah wujud pada zaman kepimpinan Tun Mahathir.

Pun begitu katanya, jumlah itu semakin merosot walaupun kadar kemiskinan di negara ini telah berjaya dikurangkan.

"Adakah ini salah kerajaan? Salah orang Melayu tak pandai berniaga?

"Saya mencadangkan satu badan khusus ditubuhkan untuk menyelesaikan dan membantu perkara ini," katanya memberi cadangan.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai peniaga-peniaga Melayu yang terpinggir dalam menjalankan perniagaan terutama di bandar-bandar besar.

"Orang Melayu tak dapat berniaga di tempat-tempat strategik seperti di Pavillion dan KLCC... hanya layak tengok barang-barang.

"Kalau nak membeli pun, bukan di situ tempatnya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain