suria

Parti Komponen Perlu Selesaikan Masalah Dalaman, Elak Jadi Liabiliti Umno

KUALA LUMPUR: Perwakilan Umno Johor hari ini meminta parti komponen Barisan Nasional (BN) menyelesaikan masalah masing-masing bagi mengelakkan mereka menjadi liabiliti kepada BN.

Ketua Umno Parit Sulong Datuk Zulkurnain Kamisan berkata parti komponen BN perlu berusaha meraih kembali sokongan kaum Cina dan kaum lain terhadap parti tunjang negara itu agar BN dapat terus berkuasa selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Kadang-kadang rasa hairan kenapa orang Cina cukup susah nak sokong BN, di manakah kesilapan rakan-rakan kita, kita tidak boleh biarkan perkara ini berlaku.

"Kita yakin mereka (parti komponen) akan bangkit daripada kekusutan, selesaikan masalah yang ada termasuk masalah dalaman parti, kembalikanlah sokongan orang Cina kepada BN," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jumaat.

Zulkurnain berkata sekiranya semua kaum terus menyokong BN, tidak mustahil BN akan menang bergaya dengan memperoleh lebih dua pertiga majoriti pada PRU akan datang.

Beliau berkata kejayaan Umno menambah bilangan kerusi pada PRU13 baru-baru ini wajar dijadikan contoh oleh parti-parti lain dalam BN kerana transformasi yang dilakukan Umno bagi memenuhi tuntutan dan kehendak semasa rakyat.

Perwakilan Umno Negeri Sembilan pula mahukan parti mempercepatkan kelulusan pendaftaran anggota baharu berikutan terdapat dakwaan proses itu mengambil masa empat hingga lima tahun.

Ketua Umno Bahagian Rasah Datuk Hasim Rusdi berkata kelewatan tidak munasabah itu perlu diperbaiki bagi memastikan anggota baharu, terutama golongan muda, tidak hilang minat untuk menyertai Umno.

Beliau berkata Umno perlu menambah keanggotaan terutama bagi memperhebat jentera kerja parti menjelang PRU14 yang menjadi penentu kepada kelangsungan parti itu.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain