suria

Mahkamah Tolak Petisyen BN Bagi Kerusi DUN Klias

KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya di sini Jumaat menolak petisyen calon Barisan Nasional (BN), Isnin Aliasneh bagi membatalkan kemenangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Lajim Ukim di kerusi Dewan Undangan Negeri Klias pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Hakim Datuk Yew Jen Kie juga memerintahkan Isnin membayar kos RM50,000 kepada Lajim.

Dalam penghakimannya, Yew berkata tidak ada bukti bahawa Lajim tahu atau membenarkan pengagihan wang tunai RM50 dan kupon bernilai RM100 sebagai insenrif untuk mengundi beliau di kawasan Dewan Undangan Negeri Klias pada PRU-13.

Sejurus selepas keputusan diumum, Isnin memaklumkan pemberita bahawa beliau akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.

Sementara itu, Lajim yang kelihatan terharu dengan keputusan berkenaan, menerima sorakan daripada penyokongnya di luar mahkamah.

Isnin menamakan Lajim, Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Klias Jupari @ Jupty Etok dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Bagaimanapun, pada 5 Ogos lepas, Yew memerintahkan agar SPR dan Jupari dikeluarkan daripada senarai responden kerana pempetisyen gagal mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan Akta Kesalahan Pilihanraya.

Isnin memfailkan petisyen itu kerana mendakwa berlaku perbuatan rasuah serta penggunaan bahan kempen yang tidak memaparkan nama pencetak semasa kempen pilihan raya di kawasan berkenaan.

Beliau diwakili peguam Jaapar Esteban, Rizuan M Borhan, Saiful Azian Mokhtar dan Muamar Julkarnain manakala Lajim oleh peguam Datuk Chau Chin Tang dan Datuk Lawrence Thien.

Pada pilihan raya umum 5 Mei lepas, Lajim memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 179 undi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain