suria

Kerajaan Ambil Serius Isu Bumiputera Dalam GLC

KUALA LUMPUR: Pelbagai usul, cadangan dan teguran perwakilan Umno di Perhimpunan Agung Umno 2013 terhadap peluang Bumiputera dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diambil serius untuk tindakan lanjut.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata adalah menjadi satu keperluan untuk GLC menempatkan wakil mereka ke perhimpunan atau majlis supaya cadangan boleh dimajukan kepada kepimpinan tertinggi mereka.

"Kita sedar perwakilan membangkitkan pelbagai isu berkaitan GLC seperti peluang pekerjaan, penglibatan wanita, memajukan ekonomi usahawan Bumiputera, kewangan, program tanggungjawab korporat dan sebagainya.

"Ini semua turut menjadi catatan saya. Kita ambil berat dan memandang serius apa yang dibangkitkan," katanya selepas melancarkan buku "Menggilap Pemidato Hebat" tulisan Budiman Mohd Zohdi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata buku tersebut akan diedarkan kepada bahagian dan cawangan Umno sebagai sumber rujukan dalam melahirkan pemidato terhebat parti.

Jelasnya, parti kekurangan pemidato yang mampu menjelaskan pelbagai fakta berkaitan sesuatu isu kepada umum serta menangkis serangan pembangkang.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain