suria

Harga Air Yang Dibeli Melaka Dari Johor Naik 10 Sen Sejak Ogos

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Melaka pada Khamis bersetuju membeli air mentah dari Johor pada harga 50 sen bagi setiap seribu gelen untuk tempoh lima tahun berbanding 40 sen sebelum ini.

Kenaikan itu berkuatkuasa 11 Ogos lepas.

Dalam perjanjian asal bermula 1993, Johor bersetuju untuk membekalkan air mentah kepada Melaka sehingga 2090, dan kadarnya tertakluk kepada semakan setiap 10 tahun.

Bagaimanapun berdasarkan satu perjanjian tambahan selepas itu, semakan boleh dibuat dalam tempoh lima tahun.

Melaka ketika itu membayar 20 sen bagi setiap seribu gelen air kepada Johor, dan kadar itu kemudian dinaikkan kepada 30 sen pada 1998 dan kepada 40 sen pada 2008, sehingga diperbaharui Khamis.

Perjanjian Tambahan Air Antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Negeri Melaka yang baharu itu, ditandatangani oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ir Idris Haron dan rakan sejawatannya, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin.

Majlis itu disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri masing-masing iaitu Datuk Naim Abu Bakar (Melaka) dan Datuk Obet Tawil (Johor) di sini Khamis.

Naim turut menyerahkan cek berjumlah RM2 juta daripada Syarikat Air Melaka Bhd kepada Obet sebagai sebahagian bayaran perkhidmatan bekalan air mentah itu.

Sementara itu, Idris semasa berucap pada majlis itu berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk meminda terma Perjanjian Asal Air Sungai Muar bagi membolehkan kadar bayaran dinaikkan sebanyak 10 sen bagi Johor membekalkan air mentah sebanyak 35 juta gelen sehari kepada Melaka.

Beliau berkata pada asasnya, sumber air di Melaka masih terhad, dan perjanjian ini membolehkan Melaka memperoleh punca air mentah yang mencukupi agar krisis bekalan air seperti yang pernah berlaku di negeri itu pada 1991 tidak berulang.

Idris berkata selain hubungan akrab yang terjalin melalui perjanjian air mentah ini, beliau berharap kedua-dua kerajaan negeri dapat mengembangkan lagi kerjasama dalam memajukan kawasan-kawasan sempadan di antara Johor dan Melaka.

"Saya berharap agar kerjasama ini dapat diperkembangkan dengan memajukan kawasan-kawasan sempadan dalam sebarang bentuk seperti industri, pertanian ataupun pelancongan bagi membolehkan kedua-dua negeri mendapat faedah secara langsung," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin pula berkata pihaknya akan terus memastikan bekalan air mentah ke Melaka mencukupi berdasarkan terma-terma yang dipersetujui dalam perjanjian itu.

"Jika perjanjian sedia ada sebanyak 35 juta gelen sehari tidak mencukupi, Johor sedia menawarkan bekalan tambahan berdasarkan harga yang dipersetujui kedua-dua pihak.

"Namun bekalan tambahan ini tertakluk kepada kemampuan Sungai Muar untuk membekalkan kuantiti tambahan itu," katanya.

Di samping itu, Mohamed Khalid turut berharap agar kedua-dua negeri dapat melancarkan perjanjian bekalan air mentah itu dengan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan dan Jawatankuasa Teknikal bagi membolehkan Johor dan Melaka sentiasa berhubung dalam usaha memastikan terma-terma perjanjian dilaksanakan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain