suria

Wanita Umno Perlu Anjakan Mentaliti, Keluar Dari Zon Selesa

Shahrizat menyampaikan ucapan penangguhan pada Persidangan Wanita Umno sempena Perhimpunan Agung Umno Ke-67 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Rabu. - Foto NORAFIFI EHSAN/The Star.
Shahrizat menyampaikan ucapan penangguhan pada Persidangan Wanita Umno sempena Perhimpunan Agung Umno Ke-67 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Rabu. - Foto NORAFIFI EHSAN/The Star.
Shahrizat menyampaikan ucapan penangguhan pada Persidangan Wanita Umno sempena Perhimpunan Agung Umno Ke-67 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Rabu. - Foto NORAFIFI EHSAN/The Star.

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengingatkan semua anggota pergerakan itu agar membuat anjakan mentaliti dan keluar dari zon selesa mereka.

Beliau berkata Wanita Umno perlu mengeratkan lagi program dengan Wanita Barisan Nasional (BN) kerana perjuangannya bukan hanya untuk wanita Melayu sahaja tetapi untuk semua wanita di negara ini.

"Perjuangan Wanita Umno merentasi kaum dan agama, walaupun kita ada agenda untuk wanita Melayu tetapi secara umumnya perjuangan kita adalah untuk semua," katanya ketika menggulung perbahasan usul pada Perhimpunan Agung Wanita Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Rabu.

Beliau juga mengajak Wanita Umno membina kekuatan dalaman dan sentiasa dikelilingi golongan cerdik pandai bagi memperbaiki diri.

"Jangan takut dengan bayang-bayang, walaupun tidak ada ijazah, puan-puan ini bukan calang-calang pemimpin, kalau kita hanya dikelilingi mereka yang kurang daripada kita bagaimana kita hendak perbaiki diri.

"Kita perlu dikelilingi mereka yang bijak pandai dan mahir daripada kita, barulah kita boleh jadi hebat, jangan takut," katanya dengan diiringi sorakan gemuruh dari 955 perwakilan yang hadir.

Sementara itu dalam sidang media, Shahrizat berkata pada penggal kali ini pergerakan itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi wanita sebagai agenda utama.

Beliau berkata tumpuan itu penting dalam usaha melahirkan lebih ramai golongan usahawan wanita di samping dapat membantu golongan ibu tunggal yang memerlukan bantuan untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan masing-masing.

Selain itu, beliau berkata program keagamaan dalam pergerakan itu akan turut dipertingkatkan lagi dengan pelbagai pendekatan yang membawa kepada hasil lebih efisien dan efektif selari dengan tuntutan globalisasi zaman sekarang.

Dalam pada itu, Shahrizat juga tidak menolak pendapat bahawa pergerakan itu berkeupayaan untuk menjadi ejen perpaduan kaum kerana sifat keibuan yang ada dalam diri mereka mampu menyelesaikan pelbagai masalah dengan mudah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain