suria

Polis Tahan Empat Warga Asing Cuba Edar Dadah Di JB

JOHOR BAHARU: Polis memberkas empat warga asing termasuk dua wanita yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah dalam serbuan di hadapan sebuah hotel di Jalan Kebun Teh Selasa lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata dua suspek lelaki warga Nigeria dan wanita Vietnam serta Indonesia terbabit ditahan pada pukul 7.15 pagi.

"Polis merampas sekilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM500,000 daripada suspek," katanya dalam sidang media, pada Khamis.

Menurut Mohd Mokhtar, siasatan awal mendapati dua lelaki Nigeria berkenaan terbabit pengedaran dadah di ibu negara dan dipercayai cuba meluaskan pasaran di luar Lembah Klang.

Seorang suspek lelaki dan wanita Vietnam itu mendakwa mereka pelajar kolej swasta di Ampang, Selangor, manakala seorang lagi suspek lelaki mendakwa bekerja sebagai jurujual alat ganti kenderaan di Pelabuhan Klang sementara wanita Indonesia terbabit tidak bekerja, katanya.

Kesemua suspek yang berusia antara 22 dan 27 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah di negara ini dan ditahan reman sehingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

Menurut Mohd Mokhtar dua daripada suspek juga disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Mengulas kes lain, Mohd Mokhtar berkata polis menahan seorang lelaki kerana memiliki senjata api di kawasan Taman Setia Indah di sini pada 18 Nov lepas. Lelaki berumur 38 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.40 malam dan pemeriksaan polis menemukan sepucuk pistol jenis Glock 26 dan dua kelopak peluru berisi 19 butir peluru pada suspek.

"Lelaki itu mempunyai rekod lampau kerana mencuri di bandar raya ini pada tahun 2008. Dia disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain