suria

PMR Akan Ditambah Baik, Bukan Lagi Peperiksaan Pusat Mulai Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan menambah baik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai tahun depan dan tidak akan memansuhkannya, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching.

Beliau berkata penambahbaikan akan mengambil kira penilaian kognitif, perkembangan jasmani, emosi dan rohani pelajar.

"Penilaian di peringkat menengah rendah masih dilaksanakan, tetapi bukan dalam bentuk peperiksaan pusat.

"Penilaian akan dilaksana merangkumi empat komponen iaitu pentaksiran sekolah, pentaksiran pusat, pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta pentaksiran psikometrik," katanya menjawab soalan Datuk Sapawi Ahmad Wasali (BN-Sipitang) pada sesi soal-jawab di persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjelaskan perkara yang akan ditaksir adalah mengenai pengetahuan, kefahaman, kemahiran dan nilai yang menjurus kepada pentaksiran profil, pencapaian, perkembangan dan penyertaan pelajar.

Yap berkata perkara tersebut terkandung dalam Surat Pekeliling Lembaga Peperiksaan Bilangan Dua 2011: Penambahbaikan Sistem Pentaksiran Kebangsaan Bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) Mulai Tahun 2012.

Beliau berkata pelaksanaan pentaksiran juga memberi autonomi kepada guru untuk melaksana pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah dan memberi pengiktirafan kepada sumbangan guru dalam pencapaian pelajar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain