suria

Perwakilan Johor Seru Umno Serap Lebih Nilai Agama Dalam Pentadbiran

Khairul Anwar Rahmat.
Khairul Anwar Rahmat.
Khairul Anwar Rahmat.

KUALA LUMPUR: Perwakilan Pemuda Umno Johor menyarankan agar parti perlu berani melakukan transformasi mengembalikan kompas agama dan moral dalam sistem pentadbirannya.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Johor, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, perkara itu perlu dilaksanakan bukan sahaja di peringkat pusat, tetapi juga di peringkat negeri, cawangan dan bahagian.

"Sistem tadbir urus ini bersandarkan agama yang boleh dipecahkan kepada dua bahagian iaitu perlindungan dan penambahbaikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Khairul Anwar yang juga Ketua Umno Bahagian Kluang berkata, perlindungan memperlihatkan penubuhan Suruhanjaya Diraja Kedaulatan Islam di bawah Majlis Raja-Raja yang berfungsi untuk memantau, memelihara, melindungi dan menguruskan hal ehwal berkaitan agama Islam.

"Penambahbaikan pula menjurus kepada mewujudkan sistem pematuhan Syariah dan penelitian semua bidang kuasa kehakiman Syariah di Malaysia.

"Selain itu, ia juga mengenai Umno menjadi contoh melahirkan sistem pentadbiran yang lebih jelas, sistematik, saksama dan efisien agar dapat mengelakkan sebarang polemik dalam organisasi.

"Dan keempatnya ialah Umno perlu kembali bermesyuarat dan bermuafakat bersama parti-parti komponen dalam menstrukturkan kembali pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya.

Dalam pada itu katanya, agama juga perlu dipraktikan secara meluas dalam pendidikan dan ekonomi.

"Dengan ini, saya menyarankan supaya kerajaan memperkasakan sekolah-sekolah agama kerajaan negeri.

"Bagi sekolah agama kerajaan negeri sedia ada, diperlukan bantuan dan sokongan dalam usaha untuk menambahbaik prestasi dan kemudahan sekolah manakala negeri-negeri yang belum mempunyai sekolah agama boleh menubuhkannya kerana terbukti dapat melahirkan jati diri, kefahaman agama yang lebih mendalam dan seterusnya membentuk masyarakat berilmu berlandaskan Islam," katanya.

Mengenai ekonomi, Khairul Anwar berkata, pemimpin-pemimpin Umno perlu membina imej dan menjana ekonomi yang baik agar menjadi contoh dan tarikan kepada rakyat.

"Tidak salah mukmin menjadi kuat dalam bidang ekonomi dan Islam membenarkannya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain