suria

Najib Turun Padang Lawat Mangsa Banjir Di Pahang

KUALA LUMPUR: Selepas menyampaikan ucapan dasar Presiden Umno dalam perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bergegas ke Pahang bagi meninjau keadaan banjir yang semakin buruk di negeri itu.

Beliau juga diberitahu bahawa anggota keselamatan sedang bertungkus-lumus memindahkan mangsa-mangsa banjir ke tempat selamat dan memastikan bekalan makanan serta ubat-ubatan mencukupi.

"Saya dalam perjalanan untuk meninjau keadaan banjir di Rompin, Pekan dan Kuantan. Saya diberitahu anggota-anggota keselamatan kita sedang bertungkus-lumus memindahkan mangsa-mangsa ke tempat selamat dan memastikan bekalan makanan dan ubat-ubatan mencukupi.

"Paling mustahak, sila patuhi arahan keselamatan dan berjaga-jaga dalam keadaan kecemasan seperti ini," katanya dalam entri terbaru Facebook beliau hari ini.

Sementara dalam twitternya pula, Najib turut mendoakan agar keadaan dan mangsa banjir selamat.

"Saya akan bertolak ke Pahang untuk menjenguk keadaan banjir di Kuantan, Rompin & Pekan sebentar lagi. Doakan semuanya selamat," katanya.

Pahang antara negeri yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda sejak awal minggu ini.

Sehingga Rabu, banjir di negeri itu telah meragut satu nyawa, Mohamed Alif Khalid, 21, yang dijumpai lemas di Sungai Kampung Sepial, Kuala Tembeling, Jerantut.

Dua beranak, Jamali Jani, 45, Anggota Jawatankuasa Umno bahagian Pekan dan anak lelakinya Megat Mohd Nazli Jamli, 17, hilang apabila terjatuh ke dalam air semasa memindahkan barang di Perkampungan Sungai Isap di sini kira-kira 7.30 malam tadi.

Kejadian berlaku dalam keadaan banjir semakin buruk di Pahang dan Terengganu serta Johor dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir terus meningkat.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain