suria

Wanita Umno Mahu Diiktiraf Sebagai Tulang Belakang Parti

KUALA LUMPUR: Selepas 66 tahun berjuang, Pergerakan Wanita Umno mahu diiktiraf sebagai teras dan tulang belakang parti.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata sudah tiba masanya martabat dan kedudukan wanita sebagai sayap parti dinaik taraf berasaskan perjuangan mereka terdahulu.

"Kalau kita dapat pengiktirafan saya yakin ia akan membuka pintu era baru wanita dalam Umno.

"Kita tak mahu bersaing dengan Puteri. Kita sayang Puteri macam anak. Mana ada sayap tiga, sayap hanya dua," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Shahrizat yang berucap di hadapan kira-kira 955 perwakilan berkata selain tempoh perjuangan yang sudah lama, pergerakan itu juga mempunyai keahlian yang paling ramai mencecah 1.3 juta.

Katanya sayap itu juga telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan telah banyak membantu serta memberi sumbangan kepada Umno.

"Kalau tak ada Wanita saya tak tahu apa akan jadi kepada Umno.

"Tak ada kami yang dikatakan 'makcik-makcik' ni saya takut Umno tutuplah semua cawangan, korum tak cukup dan program tak ada.

"Tetapi bila datang kepada 'pengiktirafan', janganlah terketar-ketar nak bagi," katanya sambil menerima sorakan sokongan daripada perwakilan yang hadir.

Bagaimanapun Shahrizat berkata, beliau yakin Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi pengiktirafan kepada wanita sebagai sebahagian daripada transformasi politik.

Tambahnya, beliau juga gembira kerana timbalan presiden Tan Muhyiddin Yassin dalam ucapan perasmian tiga sayap pada malam Selasa yang menyatakan sokongan terhadap perjuangan Wanita dalam parti.

Artikel Lain