suria

Wanita Umno Cadang Tubuh J/Kuasa Khas Hadapi PRU14

KUALA LUMPUR: Wanita Umno pada Rabu mencadangkan kepada pucuk pimpinan parti agar menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji dan menyediakan pelan strategik serta gerak kerja berasaskan model politik masa kini bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ketika membuat cadangan itu, Ketua Wanita Umno Labis, Haslinda Salleh berkata selain Umno dan parti komponen BN, jawatankuasa tersebut juga harus dianggotai oleh antaranya badan bukan kerajaan, wakil belia dan profesional.

Gerak kerja juga harus dimulakan dari sekarang dengan tumpuan kepada negeri besar seperti Johor, Sabah dan Sarawak menerusi pelan pembangunan membela rakyat dan memberi khidmat bakti serta pendekatan mesra rakyat.

"Pelan pembangunan infrastruktur dan modal insan yang berterusan pula perlu dilakukan di Kedah, Perak dan Terengganu supaya terus kekal dengan BN pada PRU 14," katanya semasa menyokong usul ucapan dasar Ketua Wanita Umno dalam perhimpunan agung sayap itu, di sini.

Beliau turut menyarankan agar sistem pemilihan parti yang dilaksana Oktober lepas ditambah baik terutama berhubung syarat mereka yang ingin bertanding.

"Syarat calon harus diketatkan supaya tidaklah calon sebarangan bertanding dan akhirnya dilihat seolah-olah Umno tidak menjaga maruah parti.

"Sistem pemantauan juga perlu ditambah baik. Biarlah pemantau itu datang dari bahagian lain bagi mengelakkan keraguan dan proses pemilihan terpaksa dilakukan berulang kali," katanya.

Sementara itu Ketua Wanita Umno Masjid Tanah, Datuk Latipah Omar semasa membentangkan usul tersebut, menyarankan agar lebih ramai wanita dilantik menjadi hakim syarie atau menjawat jawatan tinggi di Jabatan Agama Islam, bagi menangani kes berkaitan wanita.

"Kami juga mohon supaya lebih banyak bantuan diberi kepada golongan ibu tunggal kerana bantuan RM300 itu tidak mencukupi pada masa ini, ditambah dengan beberapa kenaikan yang berlaku," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain