suria

Serang OKU, Lelaki Kurang Siuman Ditembak Polis

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang lelaki cacat penglihatan untuk membelanja seorang lelaki kurang siuman bersarapan, berakhir dengan tragedi apabila beliau parah diserang dengan parang oleh lelaki itu di sebuah restoran di Jalan Bangsar di sini, Rabu.

Dalam kejadian 10.45 pagi itu, Ahmad Yaakob, 59, cedera di bahu kiri dan muka setelah ditetak lelaki kurang siuman berusia 36 tahun itu berikutan salah faham semasa mereka berbual.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata dalam kejadian itu, suspek menumbuk mangsa sebelum mengeluarkan parang dan menetaknya.

"Anggota polis yang berada berdekatan cuba meleraikan mereka tetapi suspek menghayunkan parang menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan ke paha kiri suspek," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata Ahmad dan suspek dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut dan keadaan mereka stabil.

Siasatan ke atas suspek akan dibuat selepas dia selesai menjalani rawatan. - BERNAMA

Artikel Lain